MENTERI Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa meminta semua pihak meneliti Perkara 2.1 dan 3.1 dalam dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) bagi mengelakkan kekeliruan mengenai tarikh tamat MoU itu.
Menerusi hantaran di laman Facebook beliau, Annuar memuat naik beberapa salinan MoU yang ditandatangani pada 13 September 2021 sebagai penjelasan kepada kenyataan beliau baru-baru ini tiada tarikh tamat bagi MoU itu.
“Bagi yang suka menulis tetapi malas membaca, menyelidik atau yang mungkin sengaja mahu mengelirukan fakta, saya hantar dokumen rasmi atau salinan MoU antara kerajaan dan PH.
“Sila teliti perkara 2 dan perkara 3 MoU berkenaan. Saya salah seorang yang mewakili kerajaan menandatangani MoU berkenaan,” katanya.
Perkara 2.1 menyebut “Memorandum Persefahaman ini hendaklah berkuat kuasa daripada tarikh Perjanjian ini ditandatangani dan hendaklah terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14” manakala Perkara 3.1 memaklumkan “Kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 haribulan Julai 2022”.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata demikian bagi mengulas komen beberapa pemimpin Umno yang mempertikaikan kenyataan beliau di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Sebelum ini media melaporkan Annuar memaklumkan tiada tarikh tamat tertentu berkaitan MoU itu mengenai sokongan pembangkang ke atas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Kerajaan Persekutuan dan PH pada September lalu menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan mendukung semangat Keluarga Malaysia yang mempunyai enam agenda. – Bernama, 4 Jun, 2022.
Komen