Lebih 1 juta pelancong tiba di Malaysia sejak 1 April, kata menteri


Nancy Shukri melancarkan kempen #Gojalanlah, kerjasama pintar Firefly bersama Tourism Malaysia bagi menyokong usaha kerajaan menyemarakkan lagi promosi pelancongan domestik. – Gambar Facebook, 4 Jun, 2022.

LEBIH sejuta pelancong tiba di negara ini, melebihi separuh daripada sasaran 2 juta pelancong antarabangsa yang ditetapkan kerajaan tahun ini sejak pembukaan semula sempadan pada 1 April lalu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berkata sebahagian besar jumlah itu dari Singapura dan dijangkakan lebih ramai lagi pelancong terutamanya dari Jepun, Iran dan Korea akan datang ke Malaysia.

“Sejak dua bulan lalu kita menerima kira-kira 600,000 pelancong dari Singapura dan saya rasa kini melebihi satu juta, untuk negara itu sahaja.

“Bagi pelancong negara lain, kita belum dapat memberi jumlah yang tepat kerana masih menunggu maklum balas pihak yang berkenaan, tetapi memadai untuk dikatakan kita mencapai lebih separuh daripada apa yang disasarkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan livery pesawat Firefly Airlines dan kempen #Gojalanlah di Shah Alam, Selangor hari ini.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ‘mesra pelancong’ juga diyakini mampu menjadi daya tarikan bagi kedatangan lebih ramai pengunjung luar negara ke Malaysia.

“Orang seronok dengan SOP kita yang tidak mewajibkan kuarantin, ujian pengesanan Covid-19 dan insurans, sebaliknya terpulang kepada pelancong untuk berbuat demikian,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya industri pelancongan negara masih berhadapan masalah kekurangan pekerja impak daripada wabak Covid-19, termasuk terdapat pekerja hotel takut untuk kembali bekerja kerana ketidaktentuan industri itu yang mungkin ditutup semula.

Dalam pada itu, Nancy berkata, pihaknya masih belum menerima pengesahan mana-mana hotel yang terpaksa ditutup kesan daripada Covid-19, namun beliau dimaklumkan sesetengah hotel ditutup sementara untuk kerja pengubahsuaian dan ada yang diguna semula untuk tujuan lain.

Mengenai #Gojalanlah, beliau berkata, kempen itu kerjasama pintar Firefly bersama Tourism Malaysia bagi menyokong usaha kerajaan menyemarakkan lagi promosi pelancongan domestik.

Kempen itu menawarkan pembelian tiket penerbangan berserta hotel penginapan pada harga diskaun sehingga 35%, dengan tempahan boleh dibuat di www.fireflyz.com.my hingga 30 Jun ini bagi tempoh perjalanan sehingga 31 Disember. – Bernama, 4 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen