ISU bekalan ayam dijangka selesai dalam tempoh sebulan, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Dr Norlizan Mohd Noor, yang juga menjangkakan bekalan ayam mencukupi sempena sambutan Aidiladha bulan depan.
Beliau berkata, ia susulan intervensi dan sesi libat urus rentas agensi yang turut membabitkan pemain industri bagi mengetahui permasalahan utama berkaitan bekalan ayam.
“Kita dapat komitmen iaitu mereka komited untuk tingkatkan pengeluaran. Kita dalam proses pemulihan,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Veterinar Sedunia peringkat kebangsaan 2022 di Serdang, Selangor hari ini.
Beliau berkata, terdapat pelbagai faktor menyebabkan bekalan ayam berkurangan dalam negara dalam tempoh dua minggu lalu, antaranya faktor perubahan cuaca, penyakit sampar ayam atau ‘Newcastle Disease’ (ND) serta proses vaksinasi ayam yang tidak mengikut jadual sepatutnya.
“Kekurangan pekerja dan penggunaan sistem reban ayam terbuka juga antara faktor penyumbang kepada kekurangan bekalan ayam,” katanya.
Menurut Norlizan, hampir 80% penternak ayam dalam negara menggunakan sistem reban ayam terbuka, yang antara lain terdedah kepada pencemaran bau dan lalat dan hanya segelintir menggunakan sistem reban ayam tertutup dengan penggunaan teknologi optimum.
Bagi perolehan sumber import ayam, Norlizan berkata, DVS dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bergerak ke beberapa negara bagi tujuan pengauditan rumah sembelih.
“Jika mereka memenuhi syarat ditetapkan, negara akan mendapat sumber ayam lebih banyak pada harga kompetitif bagi keperluan pengguna,” katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Haslina Abdul Hamid turut mengesahkan, isu bekalan ayam kurang di beberapa lokaliti yang dilaporkan sebelum ini, beransur pulih.
“Perkara ini (bekalan ayam) adalah sementara. Kerajaan mencuba sedaya upaya bagi memastikan bekalan ayam mencukupi,” katanya. – Bernama, 4 Jun, 2022.
Komen