PM ucap selamat jalan kepada kumpulan pertama jemaah haji


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan pertama 295 jemaah haji negara di Sepang hari ini. – Gambar Facebook Tabung Haji, 4 Jun, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyantuni dan mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan pertama jemaah haji Malaysia, yang akan berlepas ke Tanah Suci dalam pertemuan di Pusat Konvensyen Movenpick di Sepang, Selangor.

Kumpulan itu yang terdiri daripada 295 jemaah haji berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan Saudia Airlines SV 5635 pada jam 1.35 tengah hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Amrin Awaluddin dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Kerajaan Arab Saudi memperuntukkan kuota haji sebanyak 14,306 kepada Malaysia tahun ini. Dua tahun sejak 2020 jemaah Malaysia tidak dibenarkan mengerjakan haji ekoran pandemik Covid-19.

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Muhammad Abdulaziz di Madinah kira-kira jam 4.55 petang (waktu Arab Saudi).

Tahun ini, sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines akan membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dengan penerbangan terakhir pada 3 Julai.

Pengarah Eksekutif Haji TH Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang juga ketua rombongan haji Malaysia, dalam sidang media selepas pelepasan bakal jemaah haji itu berkata, pihaknya berpuas hati dengan kelancaran proses melapor diri bagi penerbangan pertama itu.

Menurutnya, terdapat tiga jemaah daripada kumpulan pertama itu, yang didapati keputusan ujian pengesanan Covid-19 tindak balas berantai polimerase (RT-PCR) mereka positif.

“Mereka dah maklumkan kepada kami lebih awal dan kami menasihati mereka supaya melalui proses dan prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), yang mana mereka perlu menjalani kuarantin yang sepatutnya.

“Selepas itu apabila mereka tiada lagi simptom, mendapat nasihat dari KKM dan kalau keputusan RT-PCR negatif dan penerbangan masih ada, kita akan cuba sedaya upaya dapatkan penerbangan untuk bawa mereka ke Tanah Suci,” katanya.

Syed Saleh menasihati bakal jemaah haji untuk mengambil ujian RT-PCR 56 jam sebelum melapor diri di stesen berlepas dan segera memaklumkan kepada TH sekiranya positif bagi membolehkan TH membuat perancangan membantu mereka menunaikan fardu haji tahun ini.

Seorang jemaah yang disantuni Ismail Sabri, Azimatul Zamzam Muda, 50, dari Kuantan, Pahang berkata, perdana menteri mengucapkan semoga beliau dan suami mendapat haji yang mabrur.

Seorang bakal jemaah haji, Mek Teh Taib, 62, dari Kuala Terengganu, Terengganu berkata beliau sudah menunggu selama 14 tahun sejak 2008, untuk menunaikan fardu haji.

“Pada 2020, saya dapat panggilan untuk menunaikan haji, tetapi semasa itu tidak dibenarkan pergi ke Tanah Suci, maka impian itu berkubur lagi.

“Tahun ini, apabila dipanggil lagi memang saya amat gembira dan Alhamdulillah kesihatan saya juga mengizinkan untuk saya ke sana,” kata suri rumah itu yang pergi menunaikan haji bersama anak lelakinya berusia 36 tahun. – Bernama, 4 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen