Pemimpin Umno tak reti bahasa, kata Setiausaha Agung DAP


Anthony Loke merujuk kenyataan Ketua Penerangan BN Selangor yang mendakwa bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa mengulang-ulang cakap DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2022.

SESETENGAH pemimpin Umno “ada masalah” untuk memahami kandungan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan apabila mendakwa perjanjian berkenaan tamat pada 31 Julai ini, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Salah faham mereka itu sampai menyebabkan mereka menyalahkan sesama mereka, katanya.

“Mereka menyalahkan sesama sendiri sebab tidak faham dengan MoU itu, malah ada satu berita menarik yang saya baca pagi tadi, seorang pemimpin BN (Barisan Nasional) Selangor, menyalahkan seorang pemimpin Umno kerana kononnya ulangi apa yang DAP dan saya cakap.

“Seperti biasa mereka mengatakan DAP sangat berkuasa kerana menentukan apa yang pemimpin Umno cakap, sekali lagi (mereka mengatakan) semuanya salah DAP,” katanya, seperti dipetik portal berita Free Malaysia Today.

Loke merujuk kenyataan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil yang mendakwa bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa mengulang-ulang cakap DAP mengenai tempoh kuat kuasa MoU sehingga pembubaran Parlimen, sedangkan Umno sudah memutuskan tidak menyokong ia disambung selepas 31 Julai.

Isham mengulas kenyataan Annuar MoU berkenaan tiada tarikh tamat.

Selain Isham, Ketua Umno Batu Pahat Puad Zarkashi juga menuduh Annuar membuat kenyataan yang bertentangan dengan keputusan parti tidak mahu meneruskan Mou dengan PH selepas 31 Julai ini.

Katanya, Annuar tidak faham keputusan Umno itu kerana beliau bukan ahli Majlis Kerja Tertinggi parti.

Perkara 2 MoU berkenaan menyebut perjanjian yang dimeterai pada 13 September 2021 terpakai “sehingga pembubaran Parlimen Malaysia ke-14”. Mandat daripada Pilihan Raya Umum ke-14 berkuat kuasa sehingga pertengahan Julai 2023.

Perkara 3 MoU bagaimanapun menyebut kerajaan setuju untuk tidak mengusulkan Parlimen bubar sebelum 31 Julai 2022. Tarikh inilah yang dianggap oleh Umno sebagai tarikh tamat MoU.

Dalam mesyuaratnya pada pertengahan April lepas, Majlis Tertinggi Umno memutuskan tidak mahu kerajaan meneruskan MoU berkenaan selepas 31 Julai ini.

“Yang jelas MoU mengatakan sebelum tarikh 31 Julai, tiada pilihan raya akan diadakan.

“Mungkin bahasa Malaysia (bahasa Melayu) mereka (pemimpin Umno) ada masalah.

“Jadi, saya sarankan kepada perdana menteri yang sekarang ini ‘juara’ bahasa Malaysia supaya mendidik dan menjelaskan kepada pemimpin Umno berkenaan MoU ini,” katanya.

Loke sebelum ini berkata, keputusan Umno tidak mahu menyokong MoU berkenaan selepas 31 Julai ini urusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan partinya.

“MoU tersebut adalah persefahaman antara PH dengan Kerajaan Persekutuan dan bukannya dengan pucuk pimpinan Umno.

“Justeru itu, pihak kami tidak terikat dengan apa-apa keputusan Majlis Tertinggi Umno,” katanya pada 16 April lepas. – 4 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen