PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu terus bersabar membuat penilaian tepat supaya tidak terpengaruh dengan desakan kepimpinan Umno untuk mengadakan pilihan raya umum seberapa segera, kata P Ramasamy hari ini.
Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata masa untuk mengadakan pilihan raya umum perlu berdasarkan apa yang terbaik untuk negara secara keseluruhannya dan bukan untuk memenuhi kepentingan tertentu kluster mahkamah Umno.
“Semua invididu ini telah melakukan kebinasaan besar kepada negara, mendengar (desakan) mereka samalah seperti pengkhianatan terbesar.
“Saya harap Ismail mempunyai kesabaran dan penghakiman yang baik untuk tidak dipengaruhi oleh mereka di dalam kluster mahkamah Umno ini,” katanya dalam satu kenyataan merujuk kepada beberapa orang pemimpin Umno yang sedang dibicarakan di mahkamah termasuklah Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak.
Zahid dan Najib, bersama-sama pemimpin kanan Umno lain mendesak Ismail supaya mengadakan PRU15 secepat mungkin, berhujah yang sekarang adalah masa terbaik untuk Umno dan Barisan Nasional menang pilihan raya.
Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno sebelum ini meluahkan hasrat untuk menunggu situasi ekonomi bertambah baik sebelum mengadakan PRU15.
Bagaimanapun, pada Konvensyen BN minggu lepas, beliau berkata akan mengadakan PRU15 sebaik sahaja BN bersedia.

“Seluruh dunia tahu yang Ismail sedang berdepan tekanan maha hebat daripada kluster mahkamah Umno, terutamanya Najib dan Zahid untuk mengadakan PRU15 lebih awal.
“Beliau telah berusaha menolak tekanan ini buat masa sekarang, lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Negeri Johor lepas. Beliau menolak desakan ini atas sebab inflasi, keadaan ekonomi dan keselamatan makanan.
“Memang munasabah untuk negara memenuhi sepenuhnya penggal (pentadbiran) sebelum mengadakan PRU15 tahun hadapan,” kata Ramasamy lagi.
Tambah pemimpin DAP itu lagi, Ismail perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan campur tangan dalam proses kehakiman sekiranya beliau mengadakan pilihan raya lebih awal.
Ini adalah kerana rayuan terakhir Najib akan didengar tidak lama lagi begitu juga dengan perbicaraan melibatkan Zahid dan Rosmah Mansor, jelas Ramasamy lagi.
“Hanya kerana mereka tidak mahu berdepan dengan igauan disabitkan bersalah dan masuk penjara, mereka mahu mempengaruhi proses kehakiman dengan mengadakan PRU15 lebih awal.
“Ada pemimpin Umno, yang dah kehabisan upaya, masih percaya PRU15 awal adalah peluang terakhir untuk menyelamatkan kerjaya politik mereka.
“Kekal bertahan daripada tekanan Umno bermakna Ismail mungkin boleh memberikan masa kepada mahkamah untuk menyelesaikan kes ini sebelum PRU15 akan datang.”

Ramasamy juga berkata walaupun Ismail mungkin kelihatan tidak memberi apa-apa kesan, yang pasti beliau adalah pilihan lebih baik jika dibandingkan dengan pemimpin korup lain dalam Umno.
Tambahnya, dengan tidak mengadakan PRU15 lebih awal dan mengabaikan tekanan daripada kepimpinan partinya, Ismail mungkin berpeluang mendapatkan lebih banyak sokongan rakyat Malaysia.
“Hakikatnya, dugaan terpentingnya untuk menjadi perdana menteri seterusnya adalah sama ada beliau boleh atau tidak berkata ‘tidak’ kepada sekumpulan politikus yang korup dan pentingkan diri sendiri ini.” – 4 Jun, 2022.
Komen