Anak Zahid Hamidi salah faham peranan wanita, kata Kit Siang


Veteran DAP Lim Kit Siang hari ini menempelak kenyataan Nurul Hidayah Ahmad Zahid yang didakwa merendahkan martabat wanita, berkata anak presiden Umno itu telah beri gambaran buruk pemerkasaan wanita sedangkan negara kini berada dalam era baharu pemerkasaan wanita. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2022.

SALAH untuk terus merendahkan martabat dan peranan wanita ketika negara perlu memberi tumpuan melantik perdana menteri wanita pertama, kata veteran DAP Lim Kit Siang. 

Beliau berkata anak perempuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah memberikan gambaran buruk terhadap pemerkasaan wanita dengan mengatakan kaum wanita lebih rendah daripada lelaki.

“Nurul Hidayah Ahmad Zahid telah memburukkan langkah untuk perkasakan wanita apabila berkata yang wanita tidak lahir untuk jadi pemimpin,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan.

“Rakyat Malaysia perlu pecahkan tempurung untuk dapatkan seorang perdana menteri wanita. Kita sudah ada seorang timbalan perdana menteri wanita dan ia tidak sepatutnya terlalu susah untuk mempunyai seorang perdana menteri wanita di Malaysia,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan Nurul Hidayah yang Malaysia ketika ini berada dalam era baharu pemerkasaan wanita.

Lim memberi contoh wanita perkasa seperti Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, selain tujuh lagi hakim wanita di Mahkamah Persekutuan.

Nurul Hidayah mendapat kritikan sejak beberapa hari lepas berikutan tularnya klip video wawancaranya di mana beliau berkata lelaki perlu jadi pemimpin kerana wanita tidak dilahirkan untuk berbuat demikian. – 4 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen