BINTANG Real Madrid Karim Benzema menarik balik rayuan terhadap hukuman tertangguh penjara setahun kerana bersubahat dalam cubaan memeras ugut bekas rakan sepasukan, Mathieu Valbuena, dengan video seks, kata peguamnya hari ini.
Peguam Hugues Vigier memberitahu akhbar sukan Perancis, L’Equipe, yang beliau menarik balik rayuan kerana “penat” dengan prosesnya.
“Penarikan itu mengesahkan penghakiman yang mengecamnya dan menyabitkannya bersalah. Ia kebenaran kehakiman. Tetapi ia bukan realiti,” katanya.
Penarikan balik rayuan itu menguatkuasakan penghakiman dibuat pada November 2021.
Hukuman untuk cubaan peras ugut pada 2015, yang menyebabkan Benzema dipinggirkan daripada pasukan Perancis selama lima setengah tahun, lebih berat berbanding yang diminta pendakwaraya.
Benzema juga didenda sebanyak 75,000 euro.
Benzema, 34, tidak dituduh sebagai dalang cubaan peras ugut itu tetapi sebagai bersubahat dengan suspek pemeras ugut dengan memberikan tekanan kepada Valbuena untuk membayar wang yang diminta.
Mahkamah Versailles mengeluarkan penghakiman yang beliau “melibatkan dirinya, menerusi muslihat dan penipuan, untuk menyakinkan rakan sepasukannya supaya tunduk kepada peras ugut itu”.
Tambahnya, beliau juga “tidak menunjukkan sebarang simpati terhadap Valbuena”, seperti yang didakwanya dan dibuktikan yang beliau gembira dengan musibah yang melanda Valbuena. – AFP, 4 Jun, 2022.
Komen