Ketua gereja mengaku bersalah buat jenayah seksual kanak-kanak


Naason Joaquin Garcia, ketua La Luz del Mundo (Cahaya Dunia), yang mendakwa mempunyai jutaan ahli di seluruh dunia, mengaku bersalah atas tuduhan serangan seksual ke atas ahli gereja bawah umur di sekitar Los Angeles. – Gambar AFP, 4 Jun, 2022.

SEORANG warga Mexico, ketua gereja besar, mengaku melakukan jenayah seksual ke atas kanak-kanak di Amerika Syarikat pada Jumaat, beberapa hari sebelum dia dijadualkan untuk perbicaraan.

Naason Joaquin Garcia, ketua La Luz del Mundo (Cahaya Dunia), yang mendakwa mempunyai jutaan ahli di seluruh dunia, mengaku bersalah atas tuduhan serangan seksual ke atas ahli gereja bawah umur di sekitar Los Angeles sejak beberapa tahun lalu.

“Sebagai ketua La Luz del Mundo, Naason Joaquin Garcia menggunakan kuasanya untuk mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak,” kata Peguam Am California Rob Bonta.

“Dia bergantung kepada pengikutnya untuk melakukan amang seksual ahli gereja bawah umur dengan tujuan serangan seksual.”

Pendakwaraya berkata Garcia, 53, menggunakan kedudukannya untuk memaksa gadis bawah umur melakukan hubungan seksual dengannya.

Siasatan mendapati Garcia dan rakan subahatnya memberitahu mangsa yang menolak hasrat ketua adalah tindakan melawan arahan Tuhan.

Garcia berdepan beberapa pertuduhan jenayah sejak ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles pada 2019.

Dia bersama dua lagi ahli gereja dijadualkan untuk perbicaraan bermula Isnin ini.

Tetapi pengakuan bersalahnya terhadap tiga pertuduhan bermakna dia akan dijatuhi hukuman minggu depan dan dijangka berdepan hukuman penjara selama beberapa tahun. – AFP, 4 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen