WAKIL rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah menyaman Putrajaya berhubung perkongsian 40% hasil negeri daripada kerajaan persekutuan.
Enam ahli Parlimen PH dan tujuh Adun memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu, menurut kenyataan wakil PKR Sabah, Upko, DAP dan Amanah hari ini.
Saman itu menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan kerajaan negeri Sabah sebagai defendan kedua.
“Pendedahan baru-baru ini oleh menteri kewangan di Parlimen yang perkongsian 40% hasil Sabah tidak lagi terpakai adalah pelanggaran yang jelas terhadap Perjanjian Malaysia,” kata gabungan itu dalam satu kenyataan.
“Kita tidak boleh lagi mengabaikan pelanggaran hak perlembagaan rakyat Sabah yang berterusan.”
Pada April, Putrajaya mengumumkan pemberian khas Sabah akan dinaikkan kepada RM125.6 juta daripada RM26.7 juta mulai tahun ini, tetapi kumpulan itu berkata ini tidak mengikut formula saham 40%.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ketua PKR Sabah Christina Liew, Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau, Ketua DAP Sabah Frankie Poon dan Ketua Amanah Sabah Lahirul Latigu.
Mereka berkata adalah mengecewakan kerana semakan semula Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, yang menyentuh pemberian khas dan hasil untuk Sabah, tidak berdasarkan formula 40%.
“Sekiranya 40% hak Sabah dihormati dan diberikan, setiap rakyat Sabah hari ini akan mengalami kualiti hidup yang lebih baik dari segi ekonomi.
“Sudah tiba masanya rampasan berterusan dan pelanggaran hak perlembagaan kita dibawa ke mahkamah untuk diselesaikan akhirnya.” – 3 Jun, 2022.
Komen