KEMENTERIAN Pertahanan Malaysia (Kementah) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) memeterai kontrak tambahan kelima pada 31 Mei untuk menghidupkan semula projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).
BNS adalah syarikat bersekutu Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC).
Ketua Pegawai Eksekutif BHIC Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf dalam satu kenyataan hari ini berkata projek itu tertangguh sejak 2019.
“Objektif utama kontrak tambahan ini adalah untuk menggerakkan semula projek itu yang akan membolehkan BNS menyambung kembali pembayaran kepada pemiutang, pengeluar peralatan asal dan institusi kewangan.
“Bulan-bulan akan datang adalah penting bagi BNS untuk membuat penilaian menyeluruh mengenai keadaan semua peralatan serta kapal sedia ada yang dalam peringkat pembinaan masing-masing,” katanya.
Di bawah Pelan Pemulihan LCS ini, kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Projek untuk mengawasi projek dengan teliti sepanjang tempoh mobilisasi.
Sharifuddin juga berkata dengan pasukan pengurusan projek yang berpengalaman dan berkelayakan termasuk fasiliti di bawah BHIC, syarikat itu berharap akan dapat terus menyumbang kepada pengukuhan armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan menjaga keselamatan serta kepentingan maritim Malaysia.
Pada 22 April 2022, Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein mengumumkan Kabinet sebulat suara bersetuju bagi meneruskan perolehan LCS untuk TLDM.
BNS dianugerahkan kontrak bernilai RM9.1 bilion pada 2011 untuk membina enam unit LCS.
LCS ini merupakan aset utama dalam ‘Program Transformasi Armada 5 hingga 15’ TLDM untuk mengukuhkan armadanya dengan kapal-kapal yang moden dan sesuai bagi meningkatkan keselamatan maritim Malaysia. – Bernama, 3 Jun, 2022.
Komen