Tiada gangguan bekalan ubat secara menyeluruh di pasaran, kata KKM


Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Norhaliza A. Halim berkata setakat ini pihak pengilang telah meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk beberapa jenis produk dengan bahan aktif paracetamol bagi rawatan demam dan sakit ringan, vitamin C serta ubat batuk dan selsema. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2022.

TIADA gangguan bekalan ubat-ubatan dengan bahan aktif paracetamol bagi rawatan demam dan sakit ringan, vitamin C, serta ubat batuk dan selsema di pasaran, kata Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Norhaliza A. Halim.

Dalam kenyataan hari ini bagi menjelaskan laporan berhubung kekurangan bekalan ubat-ubatan, Norhaliza berkata ini kerana kebanyakan produk terbabit mempunyai alternatif dari pelbagai jenama lain yang mempunyai indikasi sama.

Menurut laporan media, berlaku kekurangan bekalan ubat-ubatan dan bahan mentah bagi produk farmaseutikal melibatkan ubat-ubatan untuk rawatan demam, selsema dan batuk, sakit tekak, antibiotik, ubat tahan sakit serta ubat-ubatan bagi mengurangkan gejala penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

Norhaliza berkata terdapat peningkatan permintaan mendadak bagi beberapa jenis ubatan seperti produk dengan bahan aktif paracetamol bagi rawatan demam dan sakit ringan, vitamin C serta ubat batuk dan selsema untuk kegunaan kanak-kanak.

Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh pihak industri farmaseutikal dalam satu perjumpaan bersama Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA) dan Malaysia Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS) semalam.

“Pihak pengilang juga telah meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang tinggi,” katanya.

Norhaliza berkata KKM sedang mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak industri berhubung status sebenar bekalan ubat-ubatan yang dihasilkan di Malaysia atau diimport serta isu-isu berkaitan dengannya.

Beliau berkata pemantauan ketat dan penyelesaian terhadap setiap isu dialami akan diteliti melalui komunikasi berterusan antara Kementerian Kesihatan dan pihak industri farmaseutikal bagi memastikan kesinambungan bekalan ubat-ubatan berkualiti, selamat dan berkesan kepada rakyat Malaysia. – Bernama, 3 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen