Projek perlombongan unsur nadir di Perak tidak jejas haiwan liar, kata pakar


Aminah Farid

Cadangan projek perlombongan NR-REE di Hutan Simpang Kenderong tidak akan menjejaskan laluan haiwan liar, kata pakar alam sekitar. – Gambar Facebook, 4 Jun, 2022.

PAKAR alam sekitar berkata projek perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hutan Simpang Kenderong tidak akan menjejaskan laluan haiwan liar.

Profesor Dr Maketab Mohamed yang turut berada dalam jawatankuasa merangka prosedur operasi standard (SOP) untuk projek perlombongan itu, berkata lokasi tapak projek itu bukan habitat aktif haiwan liar.

“Maka, cakap-cakap mengatakan ia di kawasan aktif habitat harimau Malaya, tidak betul,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau adalah pesara profesor di fakulti Kejuruteraan Alam Sekitar di Universiti Teknologi Malaysia.

Projek perlombongan itu menerima kritikan daripada beberapa kumpulan alam sekitar termasuk Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Presiden SAM Meenakshi Raman sebelum ini berkata cadangan projek itu berada di kawasan hutan semulajadi yang tidak tercemar.

Katanya, cadangan lokasi itu di kawasan sensitif dan diklasifikasikan sebagai Peringkat Satu, iaitu tidak boleh ada pembangunan, pertanian atau pembalakan sepatutnya dibenarkan, dengan pengecualian untuk pelancongan semulajadi berimpak rendah, penyelidikan dan pembelajaran.

Meenakshi berkata lokasi dicadangkan itu terletak dalam kawasan utama Central Forest Spice (CFS), yang menjadi habitat haiwan liar yang hampir pupus seperti gajah, harimau, tapir dan beruang, menurut laporan.

Katanya, lokasi itu juga kawasan tadahan air, di mana kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) menyatakan ada anak sungai mengalir ke Sungai Perak berhampiran dengan tapak projek berkenaan.

Bagaimanapun, Maketab yang melawat kawasan itu bersama pasukannya ketika proses merangka SOP untuk projek itu, berkata kebimbangan utama mereka pada mulanya ialah kemungkinan pencemaran pada permukaan dan air bawah tanah.

“Sungai yang akan menerima pencemaran daripada perlombongan itu ialah Sungai Rui – ia penting untuk perikanan membabitkan ikan air tawar terutama ikan Loma.

“Jika berlaku kebocoran, ia boleh mengalir ke permukaan dan air bawah tanah. Ammonium akan bertukar kepada ammonia bergantung kepada status pH air, atas pH 9 ammonia (yang beracun kepada ikan) boleh jadi tinggi, maka ia menjadi kebimbangan utama kerana Sungai Rui penting untuk perikanan – begitu juga Hulu Sungai Perak di bahagian hilir.

“Bahan kimia utama yang digunakan ialah ammonium sulfat – selagi ia tidak ada kebocoran, ia ok.”

Maketab berkata beliau bimbang negeri lain akan turut melakukan perlombongan bahan itu, memandangkan Gerik hanyalah tapak “percubaan”. – 4 Jun, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen