KEJADIAN tembakan di Hospital Saint Francis, Oklahoma di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berpunca kerana suspek tidak berpuas hati sakit belakang yang berterusan selepas menjalani pembedahan, kata polis.
Suspek yang dikenali sebagai Michael Louis menembak mati empat orang termasuk seorang pakar bedah yang merawatnya di hospital terbabit.
Louis dilaporkan memasuki perkarangan hospital di bandar Tulsa itu bersama selaras senapang dan sepucuk pistol.
Ketua Polis Tulsa Wendell Franklin pada sidang media semalam berkata lelaki itu sebelum ini beberapa kali menghubungi pakar bedah Dr Preston Phillips, mengadu sakit di bahagian belakangnya masih tidak surut selepas pembedahan.
“Polis menemui sepucuk surat yang menyebut dengan jelas tujuan beliau datang ke hospital dengan niat untuk membunuh Dr Philips dan sesiapa sahaja yang menghalangnya.
“Suspek menyalahkan Dr Phillips atas kesakitan yang berterusan selepas pembedahan,” kata Franklin.
Tiga lagi mangsa dalam kejadian itu adalah seorang doktor, penyambut tetamu dan pesakit, tambahnya.
Franklin berkata suspek kemudian menembak dirinya sendiri.
Katanya lagi, suspek membeli senapang separa automatik di kedai senjata api sebelum menuju ke hospital. – AFP, 3 Jun, 2022.
Komen