Negeri Sembilan catat 3,925 kes HFMD setakat semalam


Sejak Januari hingga semalam sebanyak 3,925 kes HFMD dilaporkan di Negeri Sembilan. – Gambar EPA, 2 Jun, 2022.

SEBANYAK 3,925 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di Negeri Sembilan sejak Januari hingga semalam, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan.

Beliau berkata Seremban mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 2,219 kes, diikuti Port Dickson (484), Jempol (430), Rembau (333), Tampin (175), Kuala Pilah (172) dan Jelebu (112).

“Namun, kumulatif kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 21/2022 yang berakhir pada 28 Mei lepas adalah 780 kes iaitu penurunan sebanyak 21 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Kumulatif wabak HFMD di negeri ini pada tahun ini adalah 50 wabak dengan sembilan masih aktif iaitu tiga di Seremban dan tiga di Jempol manakala masing-masing satu di Port Dickson, Tampin dan Jelebu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata daripada keseluruhan 50 wabak itu, 34 wabak (68 peratus) melibatkan tadika atau taska dan perintah penutupan diberikan dengan lapan daripadanya masih ditutup manakala bakinya dibuka semula.

Veerapan berkata peningkatan kes secara ketara di negeri ini pada tahun ini berbanding tahun lepas berikutan pembukaan semula sektor pendidikan dan tempat awam.

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa memantau kesihatan anak masing-masing dan tidak menghantar anak ke sekolah atau pusat jagaan jika mengalami gejala HFMD seperti demam, ulser di mulut, lepuh di tangan atau kaki. – Bernama, 2 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen