PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu lebih tegas dan konsisten dalam pendiriannya berkaitan tarikh Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15), kata Anthony Loke.
Setiausaha Agung DAP itu berkata Ismail tidak seharusnya menyampaikan mesej tidak jelas yang hanya akan membawa kepada ketidakstabilan politik berterusan dan menjejaskan keadaan ekonomi negara.
“Keputusan untuk menasihati Yang Di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah budi bicara Perdana Menteri.
“Keputusan yang begitu penting ini tidak seharusnya dipengaruhi oleh pihak yang tidak berkaitan yang hanya mementingkan survival politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Loke merujuk kepada wawancara Ismail dengan media Jepun Nikkei yang disiarkan Isnin lalu di mana beliau dengan jelas menyatakan pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana kos sara hidup rakyat perlu ditangani.
“Namun, dalam masa 48 jam sahaja, beliau telah menukar nada semasa berucap di Konvensyen Barisan Nasional semalam dengan mengatakan bahawa beliau tidak akan menunggu satu saat lebih untuk membubarkan Parlimen sekiranya BN sudah bersedia selepas diasak dan ditekan oleh kluster kleptokrat untuk membubarkan Parlimen,” katanya.
Ini berlaku ketika pimpinan Umno terus mendesak agar pilihan raya diadakan secepat mungkin.
Tambah Loke Ismail mesti memberi mesej politik yang lebih jelas kepada rakyat.
“Sekiranya beliau benar-benar ingin menangani isu inflasi daripada memanggil pilihanraya dalam tempoh terdekat, maka beliau sebagai Perdana Menteri perlu mencari konsensus merentasi parti supaya seluruh fokus nasional menjurus kepada agenda membantu rakyat,” katanya.
Loke juga berkata DAP tidak pernah bimbang untuk menghadapi pilihan raya.
“Sekiranya Parlimen dibubarkan, DAP bersedia bersama rakan-rakan PH untuk masuk gelanggang dan berkempen sekuat mungkin,” katanya. – 2 Jun, 2022.
Komen