Sri Lanka naikkan cukai ke atas wain, keju


Sri Lanka menaikkan tarif ke atas pelbagai jenis barangan termasuk wain dan keju dalam usaha baharu untuk menghalang import serta memelihara rizab mata wang asing. – Gambar EPA, 2 Jun, 2022.

SRI Lanka menaikkan tarif ke atas pelbagai jenis barangan termasuk wain dan keju dalam usaha baharu untuk menghalang import serta memelihara rizab mata wang asing, kata Kementerian Kewangan hari ini.

Negara kepulauan itu berada di tengah krisis ekonomi terburuk sejak kemerdekaan yang membawa kepada protes anti-kerajaan pada bulan lalu bertukar menjadi ganas.

Kerajaan kini membatalkan lesen untuk kira-kira 369 barangan dan menggantikannya dengan cukai yang lebih tinggi secara mendadak, kata pegawai.

Sasaran utama ialah barangan mewah yang tidak dapat dibeli oleh kebanyakan rakyat Sri Lanka tetapi digunakan secara meluas oleh hotel yang memenuhi keperluan pelancong asing, menurut sumber.

Mulai 1 Jun keju dan yogurt asing dikenakan cukai baharu sebagai 2,000 rupee (RM24) untuk 1kg. Duti ke atas coklat dinaikkan sebanyak 200%.

Levi tambahan juga dikenakan kepada buah-buahan yang diimport manakala duti ke atas semua minuman beralkohol dan peralatan elektronik dinaikkan dua kali ganda.

Kerajaan mengenakan larangan import secara meluas pada Mac 2020 dalam usaha untuk memulihara rizab pertukaran asingnya.

Negara ini berdepan kekurangan bahan api, makanan dan ubat-ubatan teruk akibat krisis pertukaran asing sementara ia juga bergelut dengan ketiadaan elektrik yang berpanjangan dan inflasi berterusan.

Sri Lanka memohon pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) selepas gagal membayar hutang asingnya yang berjumlah AS$51 bilion (RM224 bilion).

Selepas keganasan bulan lalu di mana sekurang-kurangnya sembilan orang maut, Mahinda Rajapaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri tetapi abangnya Gotabaya Rajapaksa kekal sebagai presiden. – AFP, 2 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen