Perubahan iklim akan menyebabkan lebih banyak banjir kilat


Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran perubahan iklim akan menyebabkan lebih banyak kejadian banjir kilat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2022.

BANJIR kilat akan terus berlaku berikutan perubahan iklim dan ini perlu ditangani segera kerana negara telah pun mengalami akibatnya, kata pegawai kanan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Timbalan Ketua Pengarah (sektor pakar) JPS Bibi Zarina Che Omar berkata hujan lebat yang berpanjangan dan perubahan iklim terbukti dengan banjir baru-baru ini.

“Realitinya banyak hujan lebat dan banjir yang kerap berlaku,” katanya.

“Ini terbukti dengan banjir pada Disember lalu. Apa yang dialami Kuala Lumpur ialah hujan selama sebulan yang berlaku dalam sehari.

“Jadi, saliran tidak dapat menampungnya. Kami menjangkakan ini akan lebih banyak berlaku dengan perubahan iklim.”

Beliau menjawab isu cuaca tidak menentu yang disebabkan oleh perubahan iklim dan sama ada akan berlaku lebih banyak lagi.

Bibi Zarina bercakap di forum Flood Disaster - Perspectives on River Management, Environment and Climate Change in Malaysia.

Forum anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia itu turut disertai ahli panel daripada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Dr Zaini Ujang dan naib canselor UKM profesor Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Selepas banjir terburuk di Malaysia pada Disember di Lembah Klang, Kuala Lumpur sekali lagi ditenggelami air pada 7 Mac, 25 April dan 25 Mei.

Beberapa jalan raya di bandar ini ditutup berikutan banjir kilat, yang turut mengakibatkan beberapa kenderaan ditenggelami air dan kerosakan harta benda.

Pakar telah memberitahu The Malaysian Insight bahawa isu alam sekitar dan pembangunan berlebihan adalah faktor utama banjir kilat berulang di KL.

Bibi Zarina berkata, fokus utama mereka kini adalah untuk menyelaraskan pengurusan banjir dengan pembangunan negara.

“Tumpuan kami adalah kepada infrastruktur dan penyebaran pantas (air banjir). Di bandar kami boleh melaksanakannya dengan lebih baik.”

Sementara itu Zaini berkata, perubahan iklim perlu ditangani segera.

Beliau berkata selain Akta Perubahan Iklim yang dicadangkan, kerajaan telah meluluskan RM392 bilion untuk 50 tahun bagi menangani isu alam sekitar.

“Ini adalah rendah berbanding SGD100 bilion untuk mendirikan tembok banjir di sekitar Singapura.

“Di Malaysia kita perlu melakukan lebih banyak lagi kerana kita mempunyai banyak pantai.

“Saya telah bincangkan perkara ini dalam kabinet. Ia (RM392 bilion) mungkin kelihatan seperti banyak, tetapi untuk 50 tahun ia tidak mencukupi.”

Dalam pada itu, Ekhwan berkata berikutan perubahan iklim, kenaikan paras laut, kesan terhadap perubahan tanah, guna tanah dan faktor lain menyumbang kepada banjir kilat.

“Kami juga melihat bahawa saliran tidak dapat menampung hujan lebat. Jika kita tidak menangani perubahan iklim maka ia akan merugikan rakyat.”

Beliau berkata sukar untuk meramalkan banjir kilat jadi rakyat mesti tahu betapa pentingnya menjaga alam sekitar.

“Kita telah melihat pembetung tersumbat dan kelodak serta sampah di dalam longkang. Orang ramai kini lebih sedar apa yang berlaku.

“Rakyat mesti bekerjasama dengan kerajaan untuk menangani isu ini.” – 2 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen