Harga siling ayam, telur kekal hingga 30 Jun


Kerajaan mengekalkan harga siling untuk ayam dan telur sehingga 30 Jun.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2022.

PUTRAJAYA mengekalkan harga siling untuk ayam dan telur ayam sehingga 30 Jun, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Beliau dalam satu kenyataan berkata harga siling ditetapkan pada 5 Februari dan akan berakhir pada Ahad.

Pada masa ini, harga ayam dan telur di semenanjung adalah:

  • Ayam standard: RM8.90 sekilogram
  • Ayam super: RM9.90 sekilogram
  • Telur gred A: RM0.43 sebiji
  • Telur gred B: RM0.41 sebiji
  • Telur gred C: RM0.39 sebiji

Bagaimanapun, harga berbeza di Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan - mengikut zon dan daerah.

Alexander berkata kementerian kewangan sedang mengusahakan langkah untuk membantu golongan berpendapatan rendah apabila harga siling tidak lagi berkuat kuasa selepas akhir bulan.

Pengguna dibelenggu oleh kekurangan bekalan ayam yang menyebabkan beberapa peniaga menjual melebihi harga siling yang ditetapkan di beberapa tempat di negara ini.

Dalam usaha mengatasi kekurangan itu, Putrajaya mengarahkan penghentian eksport 3.6 juta ekor ayam sehingga harga ayam dan pengeluaran stabil.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah jangka pendek ini bertujuan menangani isu kenaikan harga ayam.

Putrajaya juga telah memansuhkan permit kelulusan import (AP) untuk ayam bagi membolehkan pengimport menyediakan lebih banyak stok.

“Kerajaan memahami bahawa terdapat kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan minggu lepas. – 2 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen