Kerajaan tiada bantahan terhadap draf undang-undang anti lompat parti, kata Wan Junaidi


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Kabinet telah diberi taklimat semalam mengenai cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan anti lompat parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2022.

KERAJAAN tidak ada bantahan terhadap cadangan draf undang-undang anti lompat parti Jawatankuasa Pilihan Khas (PSSC), kata Dr Wan Junaidi Jaafar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata Kabinet telah diberi taklimat semalam mengenai cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan anti lompat parti.

“Peguam Negara Idrus Harun telah memberi penjelasan kepada Kabinet berhubung pindaan perlembagaan dan Kabinet tidak ada bantahan terhadap draf yang dicadangkan oleh PSSC,” kata ahli Parlimen Santubong itu dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Wan Junaidi yang juga pengerusi PSSC, berkata Kabinet telah membangkitkan dua isu yang perlu ditangani lebih lanjut oleh PSSC – namun tidak menjelaskannya secara terperinci.

Beliau berkata mengikut Peraturan 85 Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, maklumat berhubung Jawatankuasa Pilihan Khas tidak boleh didedahkan kepada umum kerana ia masih dalam perbincangan di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Secara keseluruhannya, RUU itu telah diambil kira oleh Kabinet dan persoalan yang mereka bangkitkan akan dibawa ke PSSC pada 7 Jun untuk diteliti sebelum rang undang-undang yang dicadang dimuktamadkan,” kata Wan Junaidi.

Putrajaya berharap untuk membentangkan rang undang-undang itu pada sidang Parlimen akan datang bulan depan.

Rang Undang-undang anti lompat parti ini, yang sepatutnya diluluskan pada 24 Mac, adalah antara komponen utama dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) yang ditandatangani kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Rang undang-undang itu adalah untuk menghalang ahli Parlimen daripada bertukar parti demi kepentingan peribadi mereka sendiri, yang seterusnya akan membawa kepada ketidakstabilan politik.

Sejak 2018, terdapat 39 ahli Parlimen yang bertukar, membawa kepada dua pertukaran kerajaan persekutuan

Wan Junaidi baru-baru ini berkata seseorang ahli Parlimen yang dipecat oleh parti mereka tidak akan terjejas dengan cadangan undang-undang anti lompat parti. – 2 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen