AHLI Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan keputusannya tidak mahu mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan kerana desas-desus parti lawan bercadang meletakkan calon nama besar, lapor Sinar Harian.
Bekas menteri kesihatan berkata keputusannya muktamad dan hanya akan dipertimbang semula jika parti benar-benar mahu beliau bertanding.
“Perkara ini tidak sangkut dengan kehadiran kemungkinan calon-calon ‘heavyweight’ parti lawan ke Parlimen Kuala Selangor termasuk (menteri kewangan) Tengku Zafrul.
“Saya sudah suarakan perkara ini begitu lama, bahkan sudah mempersiapkan beberapa calon muda yang berpotensi untuk menggantikan tempat saya bagi hadapi PRU15.
“Keputusan saya juga adalah muktamad dengan pertimbangan kembali bertanding hanya diputuskan sekiranya pucuk kepimpinan Amanah melihat keperluan itu mendesak,” katanya, seperti dipetik portal Sinar Harian.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Dzulkefly berkata orang seperti Tengku Zafrul Aziz, yang disifatkannya “elit”, tidak cocok untuk mewakili Kuala Selangor.
“Beliau tidak begitu faham apa yang diperlukan untuk menjadi ahli Parlimen di kawasan luar bandar atau pinggir bandar,” katanya.
Tengku Zafrul, ahli perbankan yang dilantik menteri dalam Kabinet Muhyiddin Yassin, sebelum ini dilapor mengintai peluang untuk bertanding di Lembah Pantai, dan kemudian Kuala Pilah.
Umno minggu lalu mengesahkan Zafrul ahli parti itu yang berdaftar di Lembah Pantai.
Beliau dikatakan giat menjalankan aktiviti di Kuala Selangor selepas usaha mendekati rakyat di Lembah Pantai dan Kuala Pilah didakwa ditolak pemimpin Umno tempatan. Kehadirannya mendapat sambutan menggalakkan daripada pemimpin Umno Selangor.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Dzulkefly menyatakan hasrat tidak mahu bertanding lagi dalam pilihan raya kerana peluang berkhidmat dua penggal sudah memadai bagi ahli politik.
Dzulkefly berkhidmat dua penggal sebagai wakil rakyat Kuala Selangor selepas pilihan raya umum 2008 dan 2018, dan 22 bulan sebagai menteri dalam pentadbiran Pakatan Harapan. – 2 Jun, 2022.
Komen