Mahkamah Tinggi batal arahan usir Simon Momoh


Raevathi Supramaniam

Simon Momoh dan isterinya Low Kar Hui gembira dengan keputusan mahkamah hari ini yang menyebelahi mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 2 Jun, 2022.

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini membatalkan keputusan Jabatan Imigresen untuk membatalkan visa warga Nigeria Simon Momoh dan perintah pengusirannya.

Ketika membuat keputusan dibuat, Hakim Shahnaz Sulaiman berkata Momoh bukan individu yang boleh diusir dan ketua pengarah Jabatan Imigresen tidak boleh menghukum individu yang tidak melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56 Akta Imigresen.

“Sekarang atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, mahkamah ini berpuas hati terdapat merit bagi permohonan ini, justeru mahkamah membenarkan permohonan mendapatkan perintah certiorari terhadap responden untuk membatalkan pas lawatan sosial pemohon dan mengeluarkan perintah pengusiran,” kata hakim itu.

Momoh dan isterinya warga Malaysia Low Kar Hui hadir di bilik mahkamah dan kedua-duanya menangis ketika keputusan itu dibacakan.

Hakim berkata demikian kerana Momoh memegang visa pasangan yang sah ketika ditahan pada 15 Mac semasa sekatan jalan raya di Cheras kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk, bermakna beliau bukan individu yang boleh untuk diusir.

Kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, yang tertakluk di bawah seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020, juga bukan alasan untuk membatalkan visa Momoh, katanya.

Ketua pengarah hanya boleh membatalkan visa bukan warganegara jika mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56 Akta Imigresen, tambahnya.

Hakim juga berkata ketika Momoh ditahan pada 15 Mac kerana memandu dalam keadaan mabuk, beliau hanya dihadapkan ke majistret selepas 28 hari, bukannya 14 hari sebagaimana ditetapkan oleh undang-undang.

Momoh diwakili peguam Gurdial Singh Nijar, V. Vemal Arasan, James Joshua Paulraj dan Abraham Au.

Peguam Persekutuan Liyana Muhammad Fuad turut mewakili ketua pengarah Imigresen dan menteri dalam negeri. – 2 Jun, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen