WHO ramal wabak situasi Covid-19 di Korea Utara semakin teruk


Kakitangan perkhidmatan perubatan tentera Korea Utara menyerahkan bekalan perubatan di sebuah farmasi untuk membendung krisis kesihatan penyakit koronavirus di Pyongyang. – Gambar EPA, 2 Jun, 2022.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) melahirkan kekesalan pada Rabu kerana tidak mempunyai akses kepada data tentang wabak Covid-19 di Korea Utara, tetapi menganggap krisis itu semakin parah, bertentangan dengan laporan progres Pyongyang.

Korea Utara, yang mengumumkan kes koronavirus pertamanya pada 12 Mei, berkata minggu lalu wabak itu sudah dapat dikawal, dengan media kerajaan melaporkan penurunan jumlah kes.

Tetapi pengarah kecemasan WHO Michael Ryan mempersoalkan dakwaan itu.

“Kami menganggap keadaan menjadi lebih buruk bukan lebih baik,” katanya kepada pemberita, mengakui negara itu hanya memberikan maklumat yang sangat terhad.

“Pada masa ini kami tidak berada dalam kedudukan untuk membuat penilaian risiko yang mencukupi mengenai keadaan di lapangan,” katanya sambil menegaskan sangat sukar untuk memberikan analisis yang betul kepada dunia apabila tidak mempunyai akses kepada data yang diperlukan.

Sementara itu, Maria Van Kerkhove, mengetuai isu Covid-19 dalam WHO berkata negara itu mencatatkan lebih 3 juta kes yang disyaki Covid-19, walaupun akaun rasmi hanya menyebut kes “demam”.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) yang dikendalikan kerajaan melaporkan pada awal Khamis kira-kira 96,600 “kes demam” dalam tempoh 24 jam, dengan jumlah 3.8 juta kes sejak akhir April.

Tiada kematian baharu diumumkan, dengan 69 kematian setakat akhir minggu lalu.

Ia merupakan pengiraan harian ketiga berturut-turut kurang daripada 100,000, turun daripada paras tertinggi 390,000 kes harian pada pertengahan Mei, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Walaupun mempunyai salah satu sistem kesihatan yang paling teruk di dunia, KCNA melaporkan pada Khamis lebih 95% kes telah pulih.

“Terdapat banyak pemulihan yang dilaporkan, tetapi terdapat maklumat terhad yang kami ada dari negara itu pada masa ini,” kata Van Kerkhove.

Korea Utara juga telah menolak tawaran WHO dan tidak memberi vaksin kepada kira-kira 25 juta penduduknya.

Ryan menekankan kepentingan mengekang wabak di negara miskin itu.

“Kami menawarkan bantuan beberapa kali. Kami menawarkan vaksin pada tiga kali acara berasingan. Kami berterusan memberi tawaran,” katanya.

Beliau berkata agensi kesihatan PBB bekerjasama dengan China dan Korea Selatan dalam usaha mendapatkan bantuan, memuji sikap yang sangat positif dalam usaha menangani masalah kolektif ini.

WHO berulang kali memberi amaran agar tidak membenarkan virus yang menyebabkan Covid-19 merebak tanpa kawalan, antara lain kerana ia lebih berkemungkinan bermutasi dan menghasilkan varian baharu yang berpotensi lebih berbahaya.

“Kita tidak mahu melihat penularan penyakit yang teruk dalam populasi paling mudah terdedah, dalam sistem kesihatan yang sudah lemah,” kata Ryan.

“Ini bukan sahaja tidak baik untuk rakyat (Korea Utara). Ia tidak baik untuk rantau ini. Ia tidak baik untuk dunia.” – AFP, 2 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen