4 maut insiden tembakan di kampus hospital AS


Empat maut dalam kejadian serangan bersenjata terbaharu yang berlaku di Tulsa, Oklahoma, AS, pada Rabu. – Gambar AFP, 2 Jun, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA tiga maut ditembak oleh seorang lelaki bersenjata di sebuah kampus hospital di Tulsa, Oklahoma, pada Rabu, kata polis, ketika rakyat Amerika masih bergelut dengan kesedihan dan kemarahan atas kejadian tembakan di sebuah sekolah Texas lebih seminggu lalu.

Lelaki bersenjatakan senapang itu, turut terbunuh dalam kejadian, kata polis, tanpa menjelaskan sama ada beliau ditembak oleh ejen penguatkuasa undang-undang atau menembak dirinya sendiri.

“Kami boleh mengesahkan 4 orang maut, termasuk penembak, dalam situasi insiden tembakan aktif di kampus hospital St. Francis. Pegawai masih membersihkan bangunan. Maklumat lanjut akan menyusul,” polis Tulsa di akaun Twitter rasmi mereka.

Terdahulu, kapten polis Richard Meulenberg berkata pegawai menganggap tempat kejadian sebagai “malapetaka”, dengan beberapa orang ditembak dan pelbagai kecederaan.

Presiden AS Joe Biden diberi taklimat mengenai penembakan Tulsa, kata White House dalam satu kenyataan, sambil menambah pentadbirannya menawarkan sokongan kepada pegawai tempatan.

Tembakan itu adalah yang terbaru dalam rentetan serangan maut oleh lelaki bersenjata yang menggegarkan Amerika Syarikat pada bulan lalu.

Pada 14 Mei seorang lelaki kulit putih yang menyasarkan warga Afrika Amerika membunuh 10 orang di sebuah kedai runcit di Buffalo, New York. Penembak terselamat dan berdepan dakwaan.

Sepuluh hari kemudian seorang lelaki bersenjatakan AR-15 menyerbu sebuah sekolah di Uvalde, Texas, dan membunuh 21 orang—19 daripadanya kanak-kanak—sebelum ditembak mati oleh penguatkuasa undang-undang.

Undang-undang senjata berdepan tentangan di Amerika Syarikat, daripada kebanyakan Republikan dan beberapa Demokrat negeri luar bandar.

Tetapi Biden—yang melawat Uvalde pada hujung minggu—berikrar awal minggu ini untuk “terus mendesak” bagi pembaharuan, berkata: “Saya rasa keadaan menjadi sangat teruk sehingga semua orang semakin rasional mengenainya.”

Beberapa penggubal undang-undang persekutuan utama juga menyuarakan keyakinan dan kumpulan senator dwipartisan bekerja sepanjang hujung minggu untuk melaksanakannya di kawasan yang mungkin boleh berkompromi.

Mereka dilaporkan memfokuskan kepada undang-undang menaikkan umur untuk pembelian senjata api atau membenarkan polis merampas senjata daripada individu yang dianggap sebagai ancaman kepada diri mereka sendiri atau orang lain—tetapi bukan terhadap larangan ke atas senapang berkuasa tinggi seperti senjata yang digunakan di Uvalde dan Buffalo. – AFP, 2 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen