Amanah negeri diberi ruang atur strategi sendiri, kata Dzulkefly


Ravin Palanisamy

Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad berkata Amanah Kelantan unik dan diberi ruang untuk mengatur strategi mengikut acuan politik tempatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 Jun, 2022.

AMANAH Kelantan unik, susulan itu diberi ruang untuk mengatur strategi mengikut acuan politik tempatan, kata pengarah strategi parti, Dr Dzulkefly Ahmad.

“Saya fikir Amanah Kelantan berhak untuk berani mencuba, mengatur strategi ikut cara mereka.

“Terpulang kepada mereka, tetapi perlulah memaklumkan kepada pusat. Mereka kata mereka lebih tahu dan kenal situasi di Kelantan,” kata ahli Parlimen Kuala Selangor itu dalam temu bual bersama The Malaysian Insight.

Dr Dzulkefly mengulas pengumuman Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed bulan lepas, bahawa mereka akan menyertai gerakan dipimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah untuk menggulingkan kerajaan negeri pimpinan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Gerakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan juga terbuka kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

PAS mentadbir Kelantan sejak 1990. Parti serpihannya Amanah ditubuhkan pada 2015, yang kini parti komponen Pakatan Harapan.

Dr Dzulkefly berkata Kelantan begitu unik dan kepimpinan parti di peringkat pusat perlu mendengar pandangan pemimpin Amanah di negeri itu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Parti terbuka untuk mendengar selagi strategi mereka bertujuan untuk membawa parti ke arah yang lebih baik,” katanya.

Di Terengganu pula, pemimpin Amanah di negeri itu dilaporkan terbuka untuk menjalin kerjasama dengan Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Mengulas hal ini, Dr Dzulkefly menegaskan semua situasi di semua negeri akan dibincangkan pada permukiman parti itu bulan ini.

“Itu akan bincangkan nanti. Perlu kejelasan dan dibahas supaya kata sepakat dapat dicapai. 

“Setiap negeri ada keunikan masing-masing yang perlu diambil kira. Parti perlu ambil serius dan mendengar pandangan pimpinan negeri,” jelasnya.

Presiden Amanah Mohamad Sabu bulan lepas berkata pendekatan “khemah besar” bagi menyatukan parti pembangkang tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti dalam kerajaan, termasuk Umno yang dianggotai Tengku Razaleigh.

Bagaimanapun, gerakan yang dipimpin Tengku Razaleigh untuk menggulingkan PAS di Kelantan itu tidak mewakili pendirian Umno.

Dr Dzulkefly seterusnya berkata Amanah perlu memenuhi harapan dan jangkaan pengundi di Kelantan.

“Bukan hanya menawan negeri, tetapi juga berkhidmat kepada rakyat dan membawa mereka keluar dari keadaan sekarang. Parti perlu menyusun strategi serta merancang keperluan rakyat Kelantan dengan bijak.

“Objektif dan rancangan perlu jelas. Jadi, kita beri ruang kepada perbezaan pendapat dan perbahasan terlebih dulu sebelum buat keputusan. Kedinamikan inilah yang harus diguna pakai dan parti politik kekalkan,” katanya. – 2 Jun, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen