Tengku Zafrul tidak sesuai untuk Kuala Selangor, kata Dzulkefly


Ravin Palanisamy

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dikatakan akan bertanding kerusi Kuala Selangor atas tiket Umno susulan kekerapannya hadir ke beberapa acara di kawasan itu sejak akhir-akhir ini. – Gambar Facebook, 2 Jun, 2022.

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz mungkin bukan calon sesuai untuk menjadi ahli Parlimen Kuala Selangor, kata penyandang kawasan itu Dr Dzulkefly Ahmad.

Pengarah strategi Amanah itu berkata Tengku Zafrul mungkin tidak akan dapat memahami kehendak demografik yang berbeza di kawasan itu.

“Tengku Zafrul ialah ahli perbankan korporat dan sebahagian daripada ‘elitis Bangsar’.

“Beliau tidak begitu faham apa yang diperlukan untuk menjadi ahli Parlimen di kawasan luar bandar atau pinggir bandar.

“Permintaan dan keperluan di sini sangat berbeza berbanding jadi ahli Parlimen di Lembah Pantai atau kawasan bandar yang lain,” kata bekas menteri kesihatan itu.

Tengku Zafrul yang juga menteri kewangan dilaporkan mungkin bertanding kerusi Kuala Selangor atas tiket Umno.

Beliau menghadiri beberapa acara di Kuala Selangor sejak kebelakangan ini, yang mencetuskan spekulasi itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Noh Omar turut dilihat mengiringi Tengku Zafrul di acara berkenaan, yang semakin mengesahkan spekulasi itu.

Bagaimanapun, dilaporkan ada Umno Bahagian di Selangor menggesa ahlinya menolak program yang membabitkan menteri kewangan itu.

Mengulas lanjut berkenaan Kuala Selangor adalah kawasan yang berbeza, Dzulkefly berkata wang tunai adalah cara kebanyakan ahli politik untuk membeli rakyat pada masa ini, di mana beliau mendakwa ia adalah budaya di Kuala Selangor pada masa lalu.

Dzulkefly mendakwa liputan media sosial ada menunjukkan Tengku Zafrul memberikan wang pada acara yang dihadirinya.

Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad berkata Tengku Zafrul mungkin tidak akan dapat memahami kehendak demografik yang berbeza di Kuala Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 Jun, 2022.

Beliau percaya Tengku Zafrul sedang cuba meraih populariti pantas di kawasan itu dengan memberikan wang.

“Anda boleh nampak orang masuk dan mengagihkan wang di sana sini dan harap rakyat boleh dibeli dengan perkara seperti ini.

“Inilah budaya ‘cash is king’ yang berleluasa sekarang,” katanya.

“Pertarungannya sekarang ialah bukan duit tetapi khidmat. Apa yang perlu ialah mengenal pasti keperluan rakyat dan harapan mereka, isu harian dan masalah mereka. Mereka mengharapkan anda ada di situ ketika kenduri dan ketika susah.

“Ia mengenai anak mereka tidak dapat kerja lepas tamat belajar, ia tentang makanan harian dan kehidupan mereka, gaji tidak naik, keseluruhan isu menjejaskan nelayan, petani, penternak, peniaga kecil – semua spektrum membabitkan kerja dan kehidupan mereka.

“Itulah kawasan yang saya uruskan selama dua penggal ini,” katanya.

Bagaimanapun, Dzulkefly berkata Tengku Zafrul tidak boleh dipandang rendah jika Umno memutuskan untuk meletakkan beliau sebagai calon di kerusi Parlimen Kuala Selangor.

“Sesiapa pun boleh bertanding di mana-mana, tetapi ia berdasarkan kepada kesesuaian calon dan kesanggupan rakyat untuk terima.

“Tetapi apa yang paling membingungkan ialah Tengku Zafrul sibuk berpolitik dan cari kerusi, sedangkan keutamaan beliau sepatutnya terhadap keadaan kewangan negara, ringgit yang jatuh, kos sara hidup tinggi dan keselamatan makanan,” katanya. – 2 Jun, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen