Pakatan tak setuju perkenal semula GST


Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengembalikan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2022.

MEMPERKENALKAN semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan ketika orang ramai sudah pun bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Dalam satu kenyataan majlis itu berkata mereka tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengembalikan cukai berkenaan pada ketika inflasi meningkat dan orang ramai semakin pulih daripada pandemik Covid-19.

“Dalam keadaan inflasi yang semakin tinggi, rakyat sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup serta pendapatan isi
rumah yang berkurangan akibat pandemik Covid-19.

“Pengenalan semula GST bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak. Jika ditambah dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat, rakyat akan
menerima tekanan yang amat dahsyat,” katanya. 

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PKR dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, Presiden Amanah Mohamad Sabu and Presiden Upko Madius Tangau.

Semalam Ismail Sabri memberitahu Nikkei dalam satu temu bual bahawa kerajaannya sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula GST. 

GST dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional pada 2015 tetapi dimansuhkan tiga tahun kemudian oleh pentadbiran Dr Mahathir ketika itu selepas pengundi menyelar cukai penggunaan 6% kerana kenaikan kos.

Ismail Sabri berkata kerajaan sedar tentang persepsi negatif mengenai GST tetapi kerajaan sudah tidak mempunyai banyak pilihan ketika ini sambil menambah pemansuhannya menyebabkan negara kehilangan RM20 bilion hasil tahunan.

Beliau memberitahu Nikkei bahawa kerajaan akan menetapkan kadar impak minimum kepada pembayar cukai.

Majlis itu berkata memandangkan Malaysia berada di kedudukan ke-62 dalam Indeks Persepsi Rasuah dan kedua dalam indeks kroni-kapitalisme, adalah tidak munasabah Kerajaan bercadang untuk mengutip lebih banyak cukai dari rakyat tanpa membuktikan dahulu reformasi dan penambahbaikan urustadbir Kerajaan telah
berjaya dilaksana. 

“Tiada guna mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya nanti duit rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme.

“Perdana menteri juga perlu diingatkan bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menolak GST dalam pilihan raya yang lalu,” menurut kenyataan itu.  – 1 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen