Indonesia kerjasama dengan Thales tingkat kedaulatan ruang udaranya


Syarikat pertahanan Indonesia, PT Len Industri dan Thales memeterai perjanjian kerjasama bagi membina 13 GCI untuk Kementerian Pertahanan negara itu. – Gambar EPA, 1 Jun, 2022.

SYARIKAT pertahanan milik kerajaan Indonesia, PT Len Industri dan Thales memeterai perjanjian kerjasama bagi membina 13 radar pemintasan terkawal (GCI) untuk Kementerian Pertahanan negara itu.

Thales akan membina radar termasuk pusat arahan dan kawalan GM403, manakala PT Len Industri akan membangunkan stesen radar yang disokong Thales serta menghasilkan komponen tertentu buatan tempatan.

Perkongsian strategik lain termasuk satelit ketenteraan, elektronik perang saraf, kenderaan udara tanpa pemandu dan sistem pengurusan tempur (CMS).

“Perjanjian itu akan meneroka peluang pembangunan bersama sistem pengurusan tempur kebangsaan berdasarkan Thales’ Tacticos CMS, yang kini digunakan kapal KRI Usman-Harun,” menurut kumpulan pertahanan Perancis itu dalam satu kenyataan.

Radar Thales GM403 boleh mencapai sasaran sejauh 450 kilometer dan mengiringi pesawat pemintas serta pesawat penyerang dalam melaksanakan misi.

Indonesia menggariskan rancangan pemodenan ketenteraan menjelang pertengahan 2040-an, melalui pegangan industri pertahanan milik negara, Defend ID, yang dilancarkan pada 20 April.

Defend ID terdiri daripada lima perusahaan milik negara, iaitu pengeluar pesawat PT Dirgantara Indonesia, pengeluar bahan letupan PT Dahana, pengeluar senjata PT Pindad, pengeluar peralatan komunikasi PT Len Industri dan pembuat kapal PT PAL.

Menurut laporan media, anak syarikat PT Len Industri PT Surya Energi Indotama (SEI) sedang mengintai projek rel dan tenaga solar di Zimbabwe.

“Terdapat beberapa potensi menjalin kerjasama dalam sektor perniagaan dengan Kerajaan Zimbabwe menerusi tenaga baharu dan boleh diperbaharui,” kata pengarah pembangunan perniagaan SEI, Made Sandika, lapor portal berita Republika.id. – Bernama, 1 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen