Manifesto BN perlu bersegmen untuk tangani semua kaum, kata Najib


Najib Razak berkata manifesto yang memenuhi keperluan setiap kaum menggambarkan saling menghormati dan berkongsi kuasa yang diperjuangkan BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 Jun, 2022.

BARISAN Nasional (BN) mesti mempunyai manifesto pilihan raya yang bersegmen untuk menangani keperluan kaum yang berbeza di negara ini, kata Najib Razak.

Pengerusi lembaga penasihat gabungan itu berkata terdapat perkara yang semua kaum mahukan tetapi ia bersifat “generik”, seperti pendidikan atau sambungan Internet yang lebih baik.

“Tetapi untuk Pilihan Raya Umum ke-15, kita perlu membahagikannya mengikut kaum.

“Apa yang orang Melayu mahu? Isu agama, peluang pekerjaan, peluang menjadi hufaz profesional,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN dan sambutan ulang tahun ke-48 di Kuala Lumpur hari ini.

“Apa yang orang Cina mahu? Pendidikan berkualiti, kurang campur tangan kerajaan supaya mereka boleh berniaga, kerana mereka adalah kaum keusahawanan.

“Apa yang orang India mahu? Di sinilah kita perlu menghidupkan semula Pelan Tindakan India Malaysia. Kaum India sedang beralih daripada komuniti estet kepada arus perdana. Tetapi tanpa kemahiran atau pendidikan, mereka tidak boleh mendapatkan hak dalam ekonomi arus perdana. Jadi, mereka memerlukan pelan tindakan itu.”

Najib berkata manifesto yang memenuhi keperluan setiap kaum menggambarkan “saling menghormati dan berkongsi kuasa” yang diperjuangkan BN.

Bekas perdana menteri itu, yang disabitkan kesalahan rasuah berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan sedang merayu di Mahkamah Persekutuan, masih popular dan berpengaruh dalam Umno dan BN.

Beliau berkata hari ini pengundi harus “menghukum” Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional pada PRU15, kerana kedua-duanya tidak menunaikan janji mereka.

Beliau juga berkata semua jentera BN mesti mengenal pasti kelemahan mereka untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum, sambil menyatakan pada pilihan raya Johor Mac lalu, penyokong BN gagal mengundi sepenuhnya.

Mengenai bila PRU15 akan diadakan, beliau berkata kepimpinan BN komited untuk membantu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob “membuat pilihan dan keputusan yang tepat”.

“Pembangkang kini kucar-kacir. Tetapi BN kuat. Kita mempunyai masalah tetapi masih lebih kuat dan lebih bersatu.”

Najib dan parti komponen lain dalam BN, khususnya kepimpinan Umno dan mereka yang menghadapi perbicaraan rasuah, mendesak agar PRU15 diadakan lebih awal memandangkan prestasi kukuh BN dalam pilihan raya negeri baru-baru ini. 

Pemerhati berkata pilihan raya awal juga boleh membantu menyelesaikan kes rasuah mereka.

Bagaimanapun, pembubaran Parlimen adalah hak perdana menteri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong. – 1 Jun, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen