Rakyat Singapura panik Malaysia henti eksport ayam


Hidangan nasi ayam begitu popular di Singapura. Satu pertiga daripada bekalan ayam republik itu diimport dari Malaysia.– Gambar AFP, 1 Jun, 2022.

TINDAKAN Malaysia menghentikan eksport ayam mulai hari ini mencetus panik dan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan dan kenaikan harga di Singapura, lapor AFP.

Keputusan Malaysia untuk menghentikan eksport 3.6 juta ayam sebulan dibuat sebagai usaha menangani masalah bekalan ayam dalam negara, selain mengurangkan tekanan inflasi.

Langkah drastik itu mencetus kebimbangan di Singapura yang sebahagian besar makanannya diimport dari Malaysia. Satu pertiga daripada bekalan ayam Singapura diimport dari negara jirannya.

Kebimbangan itu sudah pasti paling dirasai oleh peniaga makanan seperti nasi ayam yang begitu popular di republik itu.

Harga ayam pasti naik, kata pemilik gerai terkenal Nasi Ayam Hainan Tian Tian, Foo Kui Lian, kepada AFP.

“Kalau (pembekal) naikkan harga terlalu tinggi, kami terpaksalah naikkan harga juga. Kalau tidak, macam mana kami hendak bertahan,” katanya.

Semalam, orang ramai beratur panjang di gerai-gerai nasi ayam kerana bimbang harga hidangan itu akan naik selepas Malaysia menghentikan eksport ayam.

Kebanyakan ayam yang diimport ke republik itu adalah ayam hidup, yang kemudian disembelih dan disejukkan di Singapura. Ayam beku kebiasaannya diimport dari negara lain termasuk Brazil. – 1 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen