BN harus menyerang bukan diserang, kata Mohamad Hasan


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Mohamad Hasan ketika berucap merasmikan Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 Jun, 2022.

BARISAN Nasional (BN) tidak lagi boleh membiarkan ia diserang dari segenap penjuru oleh lawan kerana itu menunjukkan seolah-olah parti lemah dan berada di pihak yang salah, kata timbalan pengerusinya Mohamad Hasan.

BN sebaliknya harus mula menyerang lawan dengan fakta dan strategi serta tidak lagi berdiam menunggu untuk mempertahankan diri setelah diserang, katanya.

“Saya kadang-kadang berasa sangat kesal atas sikap berdiam diri kita. Jentera parti-parti komponen nampak tidak berupaya menangkis tohmahan keji lawan kita, dengan radikal dan berkesan.

“Bukannya kita ini parti yang tidak ada sumber dan kekuatan. Kita ada pelbagai sumber dan kelebihan. Jadi gunakanlah,” katanya, berucap merasmikan Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Konvensyen ini diadakan sempena ulang tahun sambutan BN ke-48.

Mohamad yang juga timbalan presiden Umno berkata jentera BN harus mula menyerang dan membongkarkan kelemahan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Pendekatan tunggu dan lihat, dan menjawab hanya apabila diserang ini, mesti segera berakhir. Kita mesti aktif, proaktif dan giat membongkar betapa gagalnya PH dan PN selama ini.

“Kita mesti mula untuk lebih banyak menyerang dan ofensif’. Bukannya menunggu dan defensif.

“Jangan berpeluk tubuh sahaja dan membiarkan BN karam, dalam limpahan serangan bertalu-talu, dari pelbagai sudut oleh PH dan PN,” katanya.

Tegas Mohamad, usaha menyerang itu juga tidak harus hanya diserahkan kepada segelintir pimpinan parti semata-mata.

“Yang menjadi masalahnya sekarang adalah, apabila kita membiarkan sahaja, segala tohmahan dan persepsi rekaan pembangkang, sampai kepada masyarakat.

“Saya perhatikan dalam banyak keadaan, kita gagal memberikan jawapan dan bidasan. Kalaupun ada, ia lebih bersifat retorik politik dan tidak berobjektif.

“Jika cubaan menjawab dan membidas ini, tidak dilakukan secara strategik dan terancang, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Kita ibarat tikus membaiki labu,” katanya.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan (Adun) Rantau itu berkata, dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, gerak kerja melawan tohmahan pembangkang harus bersandarkan fakta dan data.

“Pendekatan defensif kita selama ini, seolah-olah menggambarkan kita lemah dan salah.

“Untuk menang, BN perlukan informasi bukan persepsi, PRU-15 ini mesti disandarkan kepada strategi dan berdasarkan maklumat. Segala persediaan, gerak kerja mahupun tawaran kita, mestilah disokong dengan data, disokong dengan pelan, dan disokong dengan pencapaian.

“Kita mesti menghentikan segala usaha menyajikan rakyat, dengan perspektif yang hanya berdasarkan persepsi. Akhirnya kita sendiri menjadi mangsa persepsi. Sedangkan hakikat yang sebenarnya sangat berlainan,” kata Mohamad lagi.

Konvensyen BN ini berlangsung di tengah spekulasi Pilihan raya Umum ke-15 dijangka akan diadakan tahun ini, sebelum mandat berakhir pertengahan Julai 2023.– 1 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen