Nostalgia tidak bantu BN menang PRU15, kata Mat Hasan


Raevathi Supramaniam

BARISAN Nasional (BN) tidak boleh dibuai nostalgia lalu dengan memikirkan ia akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mudah, kata timbalan pengerusi gabungan itu Mohamad Hasan.

Beliau berkata hanya kerana BN kini berada dalam kerajaan memerintah dan memenangi beberapa pilihan raya negeri, ia tidak menjamin kemenangan mudah dalam PRU akan datang dan menguasai kerajaan.

“Andaian ini bukan sahaja salah, malah berbahaya kepada BN. Kita perlu singkirkan andaian sebegitu,” katanya semasa ucapan perasmian Konvensyen Nasional BN 2022 di Pusat Dagangan Dunia (PWTC).

“Kedudukan BN tidak seperti sebelum 2018. Selepas 2018, ia adalah era yang berbeza, bukan sahaja untuk BN tetapi untuk politik Malaysia.

“BN telah menjadi sangat kecil, bukan sahaja dari segi jumlah ahli Parlimen yang kita ada, tetapi juga jumlah parti komponen di peringkat negeri.

“Inilah realiti, ia disokong oleh fakta dan data,” kata Mohamad yang juga timbalan presiden Umno.

BN muncul sebagai pemenang dalam tiga pilihan raya negeri lepas di Melaka, Sarawak dan Johor.

Ia menang majoriti besar di Johor, dengan 40 daripada 56 kerusi negeri.

Bagaimanapun, perlu diingat tiga pilihan raya negeri yang lepas menyaksikan peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 65.85%, 54.92% dan 60.67% masing-masing bagi Melaka, Johor dan Sarawak.

Ini adalah penurunan yang besar berbanding purata peratusan keluar mengundi sebanyak 82.32% pada 2018, yang menyaksikan BN kalah buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun dan Pakatan Harapan berkuasa.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Hasan turut memberi amaran kepada gabungan itu yang “jenama” BN sahaja tidak akan membantunya memenangi pilihan raya.

Beliau berkata rekod prestasi parti atau pernah memerintah negara sebelum ini tidak akan secara automatik meyakinkan pengundi untuk mengundi mereka.

“BN perlu diperkenalkan semula kepada rakyat dengan tawaran dan imej baharu,” katanya.

BN mesti memikirkan bagaimana ia boleh membaiki, mengukuhkan dan mencipta gelombang BN yang sama seperti dahulu, tambahnya.

Konvensyen BN hari ini juga bertepatan dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-48.

Kira-kira 4,500 ahli daripada pelbagai parti komponen hadir pada majlis yang diadakan di PWTC itu. – 1 Jun, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen