Ukraine, Barat mesti selesaikan krisis makanan, kata Rusia


Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov berkata Barat banyak mencipta masalah yang sengaja diada-adakan. – Gambar EPA, 1 Jun, 2022.

TERPULANG kepada Kyiv dan negara Barat untuk menyelesaikan krisis makanan global yang meningkat akibat konflik di Ukraine, kata Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov.

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan sekatan Barat telah mengganggu bekalan gandum dan komoditi lain utama lain, sekali gus mencetus kebimbangan terhadap krisis makanan global.

Rusia dan Ukraine mengeluarkan kira-kira 30% daripada bekalan gandum dunia.

“Barat banyak cipta masalah yang sengaja diada-adakan dengan menutup pelabuhan mereka kepada kapal Rusia, mengganggu logistik dan rantaian kewangan.

“Mereka perlu serius pertimbang apa yang paling penting iaitu mengambil langkah konkrit untuk tangani masalah ini,” kata Lavrov kepada pemberita semasa lawatan ke Bahrain.

Beliau selain itu menggesa Ukraine memastikan perairan di wilayahnya selamat untuk kapal belayar melalui Laut Hitam dan Azov.

“Jika masalah ini diselesaikan…tentera laut Rusia akan memastikan laluan tanpa halangan kapal ke Laut Mediterranean dan seterusnya ke destinasi mereka,” katanya. – AFP, 1 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen