Greece hantar kereta kebal ke Ukraine


Berlin akan menghantar kereta kebal pengangkutan Marder ke Greece, sebagai pertukaran penghantaran kereta kebal tempur BMP-1 era Soviet ke Ukraine. – Gambar EPA, 1 Jun, 2022.

CANSELOR Jerman Olaf Scholz berkata pada Selasa yang beliau bersetuju perjanjian dengan Greece yang akan menyaksikan Athens menghantar kenderaan tentera era Soviet ke Ukraine sebagai pertukaran kenderaan berperisai lebih moden daripada Berlin.

“Kami akan menyediakan pengangkut berperisai Jerman,” kata Scholz selepas sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU) di Brussels.

Berlin akan menghantar kereta kebal pengangkutan Marder ke Greece, sebagai pertukaran penghantaran kereta kebal tempur BMP-1 era Soviet ke Ukraine, menurut laporan media Greece.

“Kami perlu membuat pilihan tepat, iaitu menyokong Ukraine dalam semua cara yang mungkin,” kata Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis semasa lawatan ke Belanda pada Selasa.

Bagaimanapun, beliau mengakui Greece mengekalkan hubungan “agak rapat” dengan Rusia atas sebab geografi dan tradisi gereja Ortodoks.

Anggota Nato Greece menghantar peralatan pertahanan Ukraine termasuk Kalashnikov, senjata antikereta kebal dan senjata pada akhir Februari, mengundang kritikan daripada parti pembangkang berhaluan kiri.

Jerman mencapai perjanjian yang sama dengan Republik Czech untuk membantu membekalkan senjata ke Ukraine dan kini sedang berunding dengan Poland.

Matlamatnya adalah untuk membekalkan Ukraine dengan senjata yang sangat diperlukan daripada stok lama era Soviet bagi menghentikan pencerobohan Rusia.

Jerman mahu menghantar 14 kereta kebal tempur Leopard dan satu kenderaan perisai Leopard ke Prague sebagai pertukaran untuk Czech menghantar kereta kebal T-72 ke Ukraine.

Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan untuk penghantaran itu.

Kerajaan Jerman menerima kritikan daripada Kyiv dan pihak pembangkang tempatan kerana terlalu lambat menghantar senjata ke Ukraine. – AFP, 1 Jun, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen