BANJIR dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat meragut sekurang-kurangnya 106 nyawa di timur laut Brazil, kata pegawai pada Selasa ketika pekerja kecemasan meneruskan pencarian.
Kekuatan tanah runtuh merobohkan rumah di kawasan kejiranan termasuk Jardim Monteverde, sebuah komuniti miskin di luar bandar Recife.
Penduduk tempatan menyamakan gelombang lumpur yang menderu itu seperti tsunami.
“Ia adalah satu tragedi. Saya kehilangan ramai kawan,” kata penduduk berusia 49 tahun Maria Heronize kepada AFP sambil menangis.
Pasukan penyelamat menemui puluhan mayat tertimbus selepas air banjir melanda kawasan kejiranan pada Sabtu.
Enam lagi mayat—yang terakhir dilaporkan hilang di kawasan kejiranan—ditemui pada Jumaat, menamatkan pencarian di sana, kata kerajaan negeri Pernambuco.
Di tempat lain, sekurang-kurangnya lapan orang masih hilang, kata pegawai pengurusan bencana negeri itu, lokasi terbaharu dalam beberapa kejadian bencana yang melanda Brazil dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Krew menggunakan anjing yang dilatih untuk mengesan dan pesawat untuk mencari mangsa yang hilang.
Sekurang-kurangnya 24 majlis perbandaran di Pernambuco mengisytiharkan darurat dan lebih 6,000 orang kehilangan tempat tinggal atau terpaksa menyelamatkan diri.
Presiden Jair Bolsonaro menyiarkan video di Twitter pada Isnin yang menunjukkan beliau meninjau kawasan bencana menaiki helikopter yang menyaksikan banyak kawasan ditenggelami air banjir berwarna coklat dan kesan lumpur di lereng bukit.
“Saya cuba mendarat, tetapi juruterbang berkata kami boleh mengalami kemalangan memandangkan tanah tidak stabil. Jadi, kami memutuskan untuk tidak berbuat demikian,” kata presiden itu pada sidang akhbar.
Hujan bermula minggu lalu tetapi bertambah lebat pada hujung minggu. sejak Jumaat hingga Sabtu, hujan yang turun di beberapa bahagian Pernambuco adalah 70% melebihi paras normal sepanjang bulan Mei.
“Kami tidak pernah melihat hujan yang begitu banyak turun dalam masa yang singkat,” kata pesara berusia 60 tahun, Mario Guadalupe.
Pada Februari, 233 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh di bandar bersejarah Petropolis di negeri Rio de Janeiro.
Pada Januari, hujan lebat meragut sekurang-kurangnya 28 nyawa di tenggara Brazil, kebanyakannya di negeri Sao Paulo. – AFP, 1 Jun, 2022.
Komen