Israel buka saluran berita pertama di Maghribi


Saluran berita i24news Israel dijangka mewujudkan dua lagi pejabatnya di Rabat dan Casablanca di Maghribi. – Gambar AFP, 1 Jun, 2022.

IBU pejabat saluran berita i24news Israel di Maghribi yang mula beroperasi pada Selasa, menjadi saluran televisyen Israel pertama di negara Afrika Utara itu, lapor Agensi Anadolu.

Majlis dianjurkan di tapak arkeologi Chellah di Rabat serta dihadiri sejumlah tokoh dan ahli akademik bagi meraikan pembukaan pejabat itu, berdasarkan paparan klip video yang disiarkan saluran itu.

Saluran Israel itu dijangka mewujudkan dua lagi pejabatnya iaitu di Rabat dan Casablanca.

i24news Israel milik Patrick Drahi, seorang jutawan Maghribi-Perancis-Israel, berketurunan Yahudi yang dilahirkan di Casablanca, kemudian berhijrah ke Perancis dan Israel.

Pada tahun 2000, Maghribi memutuskan semua hubungan dengan Israel susulan tindak balasnya terhadap intifada Palestin kedua, dan penggantungan rundingan damai dengan Palestin.

Bagaimanapun, Maghribi memulihkan kembali hubungan diplomatik di bawah perjanjian tajaan Amerika Syarikat pada Disember 2020.

Ia menjadi negara Arab keempat bersetuju memulihkan kembali hubungan dengan Israel selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Sudan. – Bernama, 1 Jun, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen