Chadchart Sittipunt dilantik gabenor baharu Bangkok


Chadchart Sittipunt dilantik Gabenor Bangkok ke-17 selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengesahkan keputusan pilihan raya gabenor berpihak kepadanya. – Gambar EPA, 31 Mei, 2022.

CHADCHART Sittipunt dilantik Gabenor Bangkok ke-17 selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengesahkan keputusan pilihan raya gabenor berpihak kepadanya.

Calon bebas berusia 56 tahun itu memenangi pilihan raya gabenor pada 22 Mei lalu selepas menang besar dengan memperoleh lebih 1.38 juta undi.

SPR mengumumkan kemenangan Chadchart menerusi laman webnya pada petang Selasa sambil menegaskan bahawa pilihan raya gabenor dilaksanakan secara bersih dan adil.

Majlis pelantikan dijadual berlangsung pada pagi Rabu.

SPR sebelum ini masih belum mengesahkan kemenangan Chadchar pada Isnin tetapi memperakukan keputusan 40 ahli majlis Bangkok.

Kelewatan pengumuman itu susulan aduan yang difailkan aktivis politik Srisuwan Janya.

Srisuwan menuduh Chadchart mempunyai agenda tersembunyi membeli undi menerusi reka bentuk poster kempennya yang boleh bertukar menjadi beg membeli-belah atau apron.

Selain itu, beliau turut menuduh Chadchart menghina sistem birokrasi ketika berucap dalam kempennya.

Bagaimanapun, kelewatan pengumuman kemenangan Chadchart telah menimbulkan kemarahan di media sosial.

Media tempatan melaporkan talian hotline SPR dibanjiri panggilan yang menyuarakan kekecewaan dan kemarahan atas kelewatan pengesahan keputusan pilihan raya gabenor Bangkok.

Chadchart memulakan kempennya pada 2019 dan berjanji menjadi gabenor untuk semua.

Chadchart merupakan menteri pengangkutan ketika era pemerintahan Yingluck Shinawatra dari Oktober 2012 hingga Mei 2014, sebelum kerajaannya digulingkan oleh tentera. – Bernama, 31 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen