Malaysia perlu tandatangan konvensyen pelarian PBB, kata aktivis


Alfian Z.M. Tahir

Kumpulan aktivis berkata Malaysia boleh menguruskan masalah pencari suaka dan pelarian dengan lebih baik jika meratifikasi Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1951. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2022.

MALAYSIA boleh menguruskan masalah pencari suaka dan pelarian dengan lebih baik jika meratifikasi Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1951, kata sebuah kumpulan hak pro-migran.

Pengarah kumpulan hak asasi Inisiatif Utara Selatan (NSI) Adrian Pereira memberitahu The Malaysian Insight, dengan menandatangani konvensyen itu Malaysia menunjukkan kepada dunia kesungguhan dalam mengendalikan perkara itu dan memastikan mereka yang meninggalkan negara akibat konflik tidak dieksploitasi pada masa akan datang.

Komen Pereira dibuat selepas Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin baru-baru ini mengecam Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) berhubung pengeluaran kad pelarian kepada warga Indonesia.

“Indonesia mempunyai sejarah keganasan termasuk pertempuran bersenjata dan perang saudara seperti di Acheh, Timor Timur dan Papua.

“10,000 rakyat Indonesia yang tinggal di zon konflik melarikan diri dari negara itu termasuk ke Belanda dan Australia.

“Malaysia perlu belajar untuk bersikap terbuka dan kenyataan Hamzah mengenai isu itu adalah tidak bertanggungjawab. Malaysia harus menandatangani konvensyen itu jika serius dalam isu ini,” katanya.

Hamzah mempersoalkan tindakan UNHCR memberikan kad pengenalan pelarian kepada beberapa warga Indonesia, menuduh UNHCR kehilangan kad itu sewenang-wenangnya sehingga mereka yang memilikinya seolah-olah boleh tinggal di negara itu secara sah.

Katanya beliau mendapati beberapa warga Indonesia memiliki kad pelarian UNHCR semasa tindakan penguatkuasaan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia.

Malaysia bukan ahli dalam Konvensyen Pelarian 1951 mahupun Protokolnya dan tidak mempunyai sistem suaka yang mengawal status dan hak pelarian.

Pereira berkata bagi pencari suaka atau pelarian untuk menerima kad UNHCR, seseorang itu perlu melalui proses yang teliti.

Aktivis itu memberitahu The Malaysian Insight bahawa UNHCR adalah satu-satunya badan berwibawa yang boleh menentukan sama ada seseorang itu layak memegang status pelarian.

“UNHCR mempunyai proses yang teliti dan walaupun ia bukan organisasi yang sempurna, ia adalah satu-satunya badan berwibawa untuk berbuat demikian.

“Terdapat beberapa lapisan proses sebelum seseorang itu boleh ditentukan sebagai pelarian atau pencari suaka. Ia tidak diberikan sewenang-wenangnya. Mengapa mereka diberikan kad itu tertakluk kepada siasatan tetapi UNHCR menjadi satu-satunya badan yang boleh mengeluarkan kad itu,” katanya.

Sementara itu jurucakap UNHCR di Kuala Lumpur Yante Ismail menafikan kad PBB dikeluarkan sewenang-wenangnya sambil menambah UNHCR pun terlibat dengan kementerian Hamzah termasuk meneroka bidang kerjasama yang lebih erat dan pendaftaran bersama.

Beliau berkata hanya individu yang memenuhi definisi antarabangsa yang diterima memerlukan perlindungan pelarian akan diberikan kad pengenalan UNHCR.

“UNHCR mengeluarkan kad kepada individu yang memenuhi definasi antarabangsa yang diterima iaitu memerlukan perlindungan pelarian, tanpa diskriminasi atas dasar kaum, agama atau kewarganegaraan.

“Proses Penentuan Status Pelarian UNHCR melibatkan temu bual dan prosedur penyiasatan menyeluruh yang diukur berdasarkan kriteria pelarian antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara anggotanya dan dinilai berdasarkan maklumat negara asal.

“Melalui pemprosesan yang teguh dan penilaian rapi ini UNHCR menentukan bahawa seseorang mempunyai tuntutan yang sah untuk perlindungan antarabangsa dan bukan pendatang ekonomi,” kata Yante.

Beliau berkata melalui pasukan petugas bersama yang dimulakan kerajaan UNHCR berbincang mengenai pelbagai isu berkaitan perlindungan pelarian di negara ini.

Beliau berkata perbincangan ini dipergiatkan sejak 2019 khususnya dengan mesyuarat terbaharu diadakan pada November 2021.

Pada 2020 terdapat kira-kira 130,000 pelarian menetap di Malaysia berbanding kira-kira 90,000 pada 2011.

Sehingga akhir April 2022 terdapat kira-kira 182,230 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.

Menurut laman web UNHCR kira-kira 156,200 berasal dari Myanmar terdiri daripada kira-kira 103,770 Rohingya, 22,810 Chins dan 29,610 kumpulan etnik lain dari kawasan yang dilanda konflik atau melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar.

Baki individu adalah kira-kira 26,030 pelarian dan pencari suaka dari 50 negara yang melarikan diri dari peperangan dan penganiayaan. – 1 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen