TNB, Indonesia meterai perjanjian import arang batu bernilai AS$3 bilion


Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berkata perjanjian TNB dan Indonesia bertujuan menjamin bekalan arang batu yang mencukupi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2022.

TENAGA Nasional Berhad (TNB) telah menandatangani perjanjian import arang batu dengan pengeksport Indonesia yang melibatkan nilai berjumlah AS$3 bilion (AS$1=RM4.37) bagi tempoh tiga tahun.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berkata perjanjian itu bertujuan menjamin bekalan arang batu yang mencukupi selain memastikan pembekalan tenaga oleh TNB tidak terjejas.

Menurutnya, nilai kontrak terbabit telah meningkat daripada US$2.3 bilion pada tahun lepas berikutan kenaikan mendadak harga bahan berkenaan.

“Pada awal Januari tahun ini, kerajaan Indonesia telah mengumumkan untuk menghentikan sementara eksport arang batu bagi memenuhi permintaan domestiknya sedangkan kira-kira 65 peratus arang batu yang diperlukan TNB diimport dari sana.

“Namun, pada minggu lepas, saya dan pengurusan tertinggi TNB telah ke Indonesia untuk berjumpa dengan pengeksport arang batu. Kita berjaya menandatangani perjanjian selama tiga tahun itu kerana mempunyai hubungan baik dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Menara TNB Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC) Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

Mengulas selanjutnya, Takiyuddin berkata selain Indonesia yang merupakan pengimport terbesar arang batu, TNB turut mendapatkan bekalan bahan itu dari Rusia dan Afrika Selatan.

Menurutnya, TNB yang sedang berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu, kini dalam proses peralihan secara berperingkat termasuk menggunakan tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro selain meninjau penggunaan hidrogen.

“Ini adalah sebahagian daripada pelan tindakan TNB untuk memastikan bekalan elektrik negara stabil, berdaya harap, berpatutan serta tidak membebankan rakyat.

“Setakat ini, pengguna-pengguna elektrik di negara ini menikmati bayaran bil cukup stabil kerana kerajaan masih memberi rebat dua sen bagi setiap kilowatt jam berbanding negara lain yang mengenakan bayaran surcaj,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Takiyuddin berkata usaha berterusan TNB dalam memodenkan grid nasional telah membawa kejayaan apabila Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) negara berkurangan daripada 150 minit pada 2002 kepada 45.25 minit pada 2021. 

Malah, katanya, penambahbaikan tersebut turut menjadikan grid elektrik Malaysia sebagai antara yang terbaik di rantau ini selain meletakkan TNB setanding dengan negara-negara maju.

Pencapaian berkenaan disumbangkan oleh margin rizab penjanaan yang tinggi serta sistem grid yang berdaya harap, katanya. 

“Jaringan talian penghantaran ini juga membolehkan tenaga dibekalkan ke semua pusat beban dengan lancar dan seterusnya mengurangkan risiko berlakunya kejadian bekalan terputus,” kata beliau. – Bernama, 31 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen