SEBANYAK 1,420 kes denggi dilaporkan antara 15 Mei hingga 21 Mei, angka tertinggi sejak 2021, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata ia adalah kenaikan minggu ke minggu sebanyak 32.2%, di mana 1,072 kes dilaporkan sebelum ini.
“Ini angka kes denggi tertinggi pernah dilaporkan sejak 2021,” katanya dalam satu kenyataan.
“Tetapi, tidak ada kematian berkaitan denggi dilaporkan pada minggu berkenaan.”
Secara kumulatif, Dr Noor Hisham berkata 16,145 kes denggi dilaporkan setakat ini, naik daripada 10,597 kes bagi tempoh sama tahun lalu, meningkat 50.2%.
“Sebanyak sembilan kematian berkaitan denggi dilaporkan, berbanding lima bagi tempoh sama tahun lalu.”
Beliau berkata 41 kawasan panas dikenal pasti dengan 36 di Selangor, tiga di Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta masing-masing satu di Melaka dan Sabah.
Dr Noor Hisham turut menggesa orang ramai memastikan kawasan sekitar mereka bebas daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. – 31 Mei, 2022.
Komen