Pembangkang besar-besarkan iklan Tahun Baharu Cina tersilap, kata MCA


Kamles Kumar

KPDNKK telah menyiarkan iklan Tahun Baharu Cina menampilkan simbol zodiak ayam, bukannya zodiak anjing mengikut kalendar Cina. Bagaimanapun kementerian itu dengan cepat memohon maaf. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Februari, 2018.

SIKAP parti pembangkang yang sengaja mengangkat beberapa isu dan kesilapan dalam iklan Tahun Baharu Cina adalah punca kenapa masyarakat Cina berpecah belah.

Ketua biro keharmonian agama MCA Ti Lian Ker berkata, kesilapan terbaharu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Petronas itu sengaja diriuhkan oleh pembangkang supaya berlaku permusuhan antara masyarakat Cina.

“Orang yang bertanggungjawab terhadap perkara ini, sudah tentu, tak lain tak bukan, sahabat kita dalam pembangkang seperti Lim Kit Siang dan Saifuddin Abdullah yang (mengangkat kesilapan iklan ini) seolah kaum dalam rakyat Malaysia terpecah dan juga seolah sedang bergolak.

“Semua ini dibangkitkan oleh DAP dan Pakatan (Harapan) bagi menggambarkan adanya perpecahan dan secara khususnya untuk membuatkan kaum Cina marah,” kata Ti dalam satu kenyataan hari ini.

KPDNKK telah menyiarkan iklan Tahun Baharu Cina menampilkan simbol zodiak ayam, bukannya zodiak anjing mengikut kalendar Cina. Bagaimanapun kementerian itu dengan cepat memohon maaf.

Dalam pada itu, Petronas dihentam teruk kerana tidak menggunakan warna ang pow merah, sebaliknya menggunakan warna putih.

Lim membangkitkan kesilapan itu di Twitter dengan menjelaskan yang inilah puncanya kenapa kerajaan Malaysia perlu ditukar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Di bawah BN (Barisan Nasional), ayam boleh menyalak. Tahun hadapan, ia boleh berdengus dan oink (bunyi babi). Sebab inilah Malaysia perlu Ubah dalam PRU14!”

Ti, yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat MCA turut menyalahkan DAP kerana menggunakan sentimen perkauman sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina walaupun pihak berkenaan telah pun meminta maaf.

“Dari memohon maaf dan melupakan atas semangat Tahun Baharu Cina, DAP sebaliknya telah memutarbelit dan memanipulasi kesilapan ini. Ini dah semacam sebahagian daripada perangai politik toksik Ubah mereka,” katanya.

Pengguna Twitter juga turut melampiaskan kesilapan itu sebagai tidak sensitif terhadap masyarakat Cina walaupun Malaysia merupakan negara berbilang bangsa, budaya dan adat.

“Sudah 60 tahun, tapi menteri pun tidak faham budaya kaum lain di Malaysia. Buat malulah KPDNKK-Laman Rasmi,” tulis pengguna Twitter Maran Matters (@maaranmatters).

Manakala Samuel Khoo (@KoolSammm) turut menyindir kesilapan itu sebagai kesilapan bodoh kerana semua rakyat Malaysia sedia maklum.

“‘Angpow’ putih oleh @Petronas, ayam menyalak oleh @KPDNKK dan sekarang Vanakkam pula oleh @TourismMalaysia. BETULKAH? Apa pula kemudian? Santa Klaus bagi angpow?”

Pengguna lain, Vernon Adrian Emuang (@VernonAE) berkata ketidakfahaman budaya ini akan merosakkan negara untuk jangka masa panjang. 

“Ketidakcekapan (memahami) antara budaya dalam ekonomi global dunia akan menjadi punca kejatuhan kita.” – 17 Februari, 2018.

 

Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen