PEMIMPIN Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin menyokong larangan ke atas kebanyakan import minyak Rusia, selepas perjanjian kompromi dengan Hungary bagi menghukum Moscow kerana perang di Ukraine.
Blok 27 negara itu menghabiskan masa berminggu mengenai cadangan sekatan keseluruhan minyak Rusia tetapi mendapat tentangan daripada Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban.
Pemimpin EU yang bermesyuarat di Brussels membuat perjanjian kompromi mengecualikan penghantaran melalui saluran paip daripada larangan itu, selepas Budapest memberi amaran pemberhentikan bekalan akan menjejaskan ekonominya.
“Perjanjian untuk mengharamkan eksport minyak Rusia ke EU. Ini serta-merta meliputi lebih daripada dua pertiga import minyak dari Rusia, mengurangkan sumber pembiayaan yang besar untuk jentera perangnya,” kata Ketua Majlis Eropah Charles Michel dalam tweet semasa sidang kemuncak itu.
“Tekanan maksimum ke atas Rusia bagi menamatkan perang.”
Ketua Eksekutif EU, Ursula von der Leyen berkata langkah itu “akan mengurangkan secara efektif kira-kira 90% import minyak dari Rusia ke EU menjelang akhir tahun” kerana Jerman dan Poland komited menolak penghantaran melalui saluran paip untuk wilayah mereka.
Perselisihan mengenai pakej sekatan keenam menggugat perpaduan Eropah dalam menghadapi serangan Kremlin ke atas Ukraine selepas lima gelombang hukuman ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Rusia.
Walaupun terdapat jurang sekatan disebabkan bantahan Hungary, pusingan terbaru sekatan mewakili beberapa langkah paling memberi kesan yang diambil oleh EU setakat ini.
Michel berkata pakej itu juga melibatkan memutuskan hubungan bank terbesar Rusia Sberbank daripada sistem SWIFT global, mengharamkan tiga penyiar negara dan menyenaraihitamkan individu yang dipersalahkan dengan jenayah perang. – AFP, 31 Mei, 2022.
Komen