Sekatan AS terhadap berlian Rusia jejas industri penggilap India


Wilayah Gujarat terkenal sebagai antara hab penggilap berlian terbesar di dunia. – Gambar AFP, 31 Mei, 2022.

SEKATAN yang dikenakan negara Barat terhadap berlian kasar Rusia mengakibatkan penderitaan kepada industri penggilap India, di mana kadar pengangguran, pengurangan gaji, dan kes bunuh diri semakin meningkat, presiden Kesatuan Pekerja Berlian Gujarat, Ramesh Zilariya, memberitahu Sputnik.

Pada awal April, pentadbiran Biden mengenakan sekatan ke atas syarikat perlombongan berlian Rusia Alrosa, yang bertanggungjawab membekalkan 90 peratus daripada berlian Rusia dan menyumbang satu pertiga sumber utama berlian di seluruh dunia.

Presiden Joe Biden mengeluarkan perintah eksekutif mengharamkan import terhadap berlian bukan industri dari Rusia.

“Negara-negara Barat, termasuk Amerika Syarikat, meletakkan syarat agar berlian yang digilap bukan berasal dari Rusia.

“Hasilnya… ia telah menjejaskan industri berlian India dengan teruk, susulan sebahagian industri berlian Gujerat terpaksa mengurangkan pengeluaran,” kata Zilariya.

Wilayah Gujarat terkenal sebagai antara hab penggilap berlian terbesar di dunia.

Zilariya berkata kemerosotan bekalan berlian dalam pasaran akibat sekatan telah memaksa syarikat pengilat berlian memendekkan waktu bekerja, dan ramai pekerja menganggur atau hanya dibenarkan kerja selama 15 hari.

“Dasar itu memberi kesan langsung kepada pekerja dalam industri berlian, mengakibatkan inflasi meningkat, manakala di sisi lain gaji pekerja terjejas, hingga menyebabkan ramai bertindak membunuh diri,” kata Zilariya.

Kesatuan Pekerja Berlian di Gujerat baru-baru ini bertemu dengan ketua menteri Gujarat dan menteri buruh bagi mencari jalan penyelesaian terhadap krisis dan kemungkinan menyusun pakej bantuan ekonomi bagi menyokong industri. – Bernama, 31 Mei, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen