SEKATAN Jepun terhadap Russia akan menjejaskan 15,000 syarikat Jepun, yang mempunyai transaksi perniagaan secara langsung atau tidak langsung dengan Russia, lapor agensi berita Sputnik, memetik laporan akhbar Jepun Asahi pada Isnin.
Akhbar itu memetik seorang ahli politik yang namanya tidak disebut menyatakan sekatan Jepun terhadap Russia sama seperti sekatan terhadap Korea Utara.
Kesan sekatan terhadap Moscow juga akan menjejaskan 15,000 syarikat Jepun yang menjalankan perniagaan dengan Russia secara langsung atau tidak langsung ekoran larangan import dan eksport, menurut laporan itu.
Sekatan itu juga boleh menyebabkan kenaikan harga komoditi dalam negara, lapor akhbar itu.
Jepun menyertai kempen sekatan terhadap Russia selepas negara itu melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine pada 24 Februari.
Ia turut mengenakan sekatan terhadap 507 individu dari Russia dan 253 individu dari republik rakyat Donetsk dan Luhans, serta terhadap 201 entiti Russia termasuk bank utama.
Tokyo turut mengenakan larangan ke atas eksport terhadap kira-kira 300 barangan, termasuk semikonduktor, radar, penderia, laser dan teknologi lain, serta kereta dan barangan mewah. Ia turut melarang import 38 jenis barangan dari Russia antaranya termasuk venir, serpihan kayu, kereta dan motosikal, bir, wain dan vodka. – Bernama, 30 Mei, 2022.
Komen