Khairy dilantik naib pengerusi lembaga eksekutif WHO


Khairy Jamaluddin dilantik sebagai naib pengerusi lembaga eksekutif WHO mewakili rantau Pasifik Barat bagi 2022-2023. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2022.

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai naib pengerusi lembaga eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mewakili rantau Pasifik Barat bagi 2022-2023.

Khairy dilantik bersama tiga lagi calon dari Colombia, Yaman dan Timor Leste.

Pengumuman dibuat hari ini di Geneva pada jam 10 pagi waktu Geneva.

Pelantikan berdasarkan prinsip penggiliran antara rantau geografi, dengan Malaysia ketika ini adalah ahli lembaga eksekutif WHO dari 2021 hingga 2024.

Rakaman video pengumuman itu dikongsi Kementerian Kesihatan (KKM) dengan media tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang mengucapkan tahniah atas pelantikan itu berkata, ia satu penghormatan besar kepada negara.

Beliau berkata, Malaysia berhasrat memperjuangkan isu yang menjadi keutamaan dan kepentingan bersama masyarakat serantau serta global, dengan menjadi suara utama sebagai naib presiden perhimpunan kesihatan sedunia dan kini naib pengerusi lembaga eksekutif WHO.

“Di tengah-tengah setiap krisis, terdapat peluang besar untuk melakukan apa yang betul untuk rakyat dan masyarakat, di peringkat tempatan mahupun global. Malaysia sentiasa berada di barisan hadapan untuk memajukan kesihatan awam global,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Katanya, Malaysia akan menyumbang ke arah kejayaan usaha WHO dalam memimpin masyarakat antarabangsa terhadap pelbagai bidang, termasuk tindak balas Covid-19, inovasi kesihatan digital, penuaan yang sihat dan aktif, kesihatan mental, penyakit tidak berjangkit (NCD) dan perubahan iklim. – Bernama, 30 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen