Umno digesa bertindak ahli buat kenyataan kucar-kacirkan parti


LEMBAGA Disiplin Umno perlu mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli parti itu yang mengeluarkan kenyataan berhubung kepimpinan kerajaan negeri Melaka dan Umno negeri sehingga boleh mengkucar-kacirkan parti.

Timbalan Ketua Pemuda Umno Melaka Dr Muhammad Akmal Saleh berkata kenyataan peribadi segelintir individu tersebut telah menimbulkan keadaan “kurang senang” dalam kalangan ahli parti.

“Kita tidak mahu perkara mendatangkan gusar dalam kalangan ahli yang mahu melaksanakan tugas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Merlimau di Lipat Kajang di Melaka hari ini.

Terdahulu beliau bersama Ketua Wanita Umno bahagian Jasin Siti Faizah Abdul Azis dan Ketua Pergerakan Puteri Umno Melaka Khaidirah Abu Zahar menyatakan sokongan kepada Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri Melaka manakala Ab Rauf sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Melaka. – Bernama, 30 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen