CHINA memuji usaha Forum Kepulauan Pasifik (PIF) yang giat mempromosi kerjasama membabitkan pelbagai pihak, kata Menteri Luar China, Wang Yi.
Di samping itu katanya, PIF juga pertubuhan antara kerajaan paling berprestij di Pasifik Selatan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung PIF Henry Puna di Suva, Fiji pada Ahad.
“China mementingkan peranan forum terbabit dalam hal ehwal serantau dan sudah mengirim perwakilan menghadiri aktiviti berkenaan sejak 30 tahun lalu.
“Di samping itu, China juga menubuhkan Tabung China-PIF dan menyediakan kemudahan kepada utusan sekretariat berkenaan.
“China bersedia mengintensifkan dialog, memperhebat kesalingpercayaan, mempertingkat kerjasama, sedaya upaya menyokong pembangunan forum, selain memperkukuh dan mengembangkan hubungan dua hala,” kata Wang.
Tambah beliau, China menyokong Strategi Pasifik Biru 2050 dan menanti-nantikan pertumbuhan baharu dalam pemeliharaan ekologi laut dan e-dagang.
Jelas Wang, penularan wabak tidak akan menghalang pembangunan China yang dinamik dalam ekonomi.
“China tidak berganjak daripada usaha memperluas, memperdalam dan mempertingkat keterbukaan, berkongsi hasil pembangunan dan mengalu-alukan produk berkualiti Kepulauan Pasifik ke pasaran China.
“China sudah menjalin hubungan diplomatik dengan Kepulauan Pasifik sejak setengah abad lalu,” katanya.
Sementara itu, menurut Puna, China rakan dialog dan pembangunan penting bagi Kepulauan Pasifik, serta menyatakan negara itu membuat sumbangan signifikan kepada perkembangan serantau sejak sekian lama.
Beliau berkata, pihaknya menyambut baik usaha China memperkasa penyelarasan strategi, memperluas kerjasama dalam ekonomi dan perdagangan, pendidikan, ekonomi biru, sekali gus merealisasikan pembangunan lestari serta memanfaatkan peluang China terutamanya kelebihan dalam ekonomi digital. – Bernama, 30 Mei, 2022.
Komen