Kelantan berjaya tanam 4.2 juta pokok tahun lepas, kata MB


Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata sehingga kini, hutan simpan kekal di Kelantan adalah seluas lebih 629,000 hektar bersamaan dengan 42 peratus dari keluasan tanah negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2022.

KERAJAAN Kelantan berjaya menanam 4.2 juta pokok di seluruh negeri sepanjang tahun lepas menerusi Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, kata Menteri Besar Ahmad Yakob.

Beliau berkata jumlah tersebut meletakkan Kelantan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran penanaman 15 juta pokok dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Kesemua pokok ini telah ditanam menerusi pelbagai program melibatkan seluruh lapisan masyarakat yang dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Kelantan, agensi awam, pihak swasta, badan bukan kerajaan serta orang perseorangan. 

“Jumlah pokok yang ditanam oleh Kelantan pada tahun lepas merupakan tertinggi di Semenanjung serta ketiga tertinggi di Malaysia selepas Sarawak dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian Program Penanaman Sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Maahad Tahfiz Daril Ulum, Kampung Meranti, di Pasir Mas hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Abdul Khalim Abu Samah.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata sehingga kini, hutan simpan kekal di Kelantan adalah seluas lebih 629,000 hektar bersamaan dengan 42 peratus dari keluasan tanah negeri. – Bernama, 30 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen