Muda sedia kerjasama tangani isu rakyat, kata Syed Saddiq


Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu sedia bekerjasama rapat dengan Adun dan Ahli Parlimen dari parti lain dalam menangani isu-isu yang  berkaitan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2022.

MUDA sedia bekerjasama rapat dengan Adun dan Ahli Parlimen dari parti lain dalam menangani isu-isu yang  berkaitan rakyat, kata presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Muar itu berkata setiap wakil rakyat termasuk dirinya harus bersifat terbuka untuk bekerjasama rapat dengan sesiapa jua meskipun berlainan parti politik, bagi membuktikan kesungguhan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

“Saya mengalu-alukan kerjasama dengan pihak lain termasuk daripada Adun dan ketua kampung parti politik lain. Begitu juga di Puteri Wangsa ini, saya sudah beritahu Adun Muda Amira (Aisya Abd Aziz) untuk turut bekerjasama dengan parti lain, mana (keadaan yang) boleh.

“Penting untuk kita bekerjasama jika mahu membantu rakyat di lapangan terutama dalam isu tempatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya MUDA Puteri Wangsa di Johor Bahru malam tadi.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Pilihan Raya Umum (PRU -15), Bekas Menteri Belia dan Sukan itu enggan mengulas ketika ditanya sama ada Muda terbuka untuk menerima kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Fokus Muda adalah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, kita mahu fokus kepada politik dasar. Tidak ada gunanya jika kita dapat mengumpulkan 20 parti atau lebih jika kita tidak dapat menyelesaikan isu teras rakyat. Kita fokus politik penyelesaian dan bukan politik lama dan saya tidak mahu ulas khemah besar atau kecil. – Bernama, 30 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen