Tentera Rusia mara ke tengah Severodonetsk, kata Ukraine


Asap dan kotoran dari bandar Severodonetsk, di wilayah Lugansk, Ukraine ketika serangan Rusia. Bandar itu merupakan laluan penting buat Rusia dalam usaha untuk menawan Lugansk. – Gambar AFP, 30 Mei, 2022.

TENTERA Rusia semakin menghampiri pusat bandar Severodonetsk di timur Ukraine walaupun mendapat tentangan hebat, kata gabenor wilayah itu pada Isnin.

“Rusia semakin mara ke tengah-tengah Severodonetsk. Pertempuran berterusan. Keadaan sangat getir,” kata Gabenor Lugansk Sergiy Gaiday dalam satu kenyataan di media sosial.

Selepas gagal menawan ibu kota Ukraine Kyiv pada peringkat awal perang, Rusia telah mengalihkan tumpuannya ke wilayah timur Donbas dan cuba untuk menyatukan kawasan di bawah kawalannya.

“Infrastruktur kritikal Severodonetsk musnah dan 60 peratus bangunan kediaman yang rosak tidak dapat dipulihkan,” kata Gaiday di Telegram.

Tambahnya, tiga doktor di kawasan itu dilaporkan hilang selepas kenderaan mereka dikesan rosak teruk dan dua sukarelawan telah menjadi sasaran ketika memandu.

Severodonetsk, dengan populasi sebelum perang sekitar 100,000 orang, merupakan salah satu daripada beberapa hab bandar penting yang terletak di laluan Rusia untuk menawan seluruh wilayah Lugansk, objektif utama tentera Moscow.

Tenteranya sebelum ini berkata mereka telah menawan Lyman, sebuah bandar yang lebih kecil dan bekas hab kereta api di kawasan itu, selain meningkatkan tekanan ke atas Severodonetsk dan bandar Lysychansk. – AFP, 30 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen